Kerajaan, PN bersaing bawa teknologi REE - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan dan Perikatan Nasional (PN) bersaing membuktikan siapa paling handal membawa teknologi pemprosesan unsur nadir bumi (REE) ke negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia kerana industri REE dikuasai hampir 90 peratus oleh negara China sekali gus menjadi masalah kepada idea untuk memajukan sektor berkenaan di Malaysia.

“Saya yakin ini persaingan yang sihat. Jika tidak, rancangan yang diumumkan di Bangi itu hanya kekal menjadi hasrat sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Isnin, SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) akan memberi tumpuan untuk memajukan industri REE dalam usaha meningkatkan ekonomi empat negeri di bawah pentadbiran PN.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana industri baharu itu berupaya memberi hasil pendapatan tinggi.

Ujar Rafizi, kemampuan sebenar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terserlah jika berjaya membawa pelaburan asing yang melibatkan teknologi REE untuk dikongsi di negara ini.

Menurutnya, teknologi untuk memproses REE hanya dimiliki oleh syarikat-syarikat milik kerajaan China.

“Hanya ada beberapa buah syarikat bukan China yang mempunyai teknologi ini.

Artikel Berkaitan:

“Perbincangan di peringkat Kerajaan Persekutuan telah memutuskan agar usaha dimulakan untuk meyakinkan pelabur-pelabur untuk berkongsi teknologi pemprosesan REE dengan membuka kilang pemprosesan di negara ini,” ujarnya.

Ulas beliau, idea penubuhan syarikat bersama bagi membina kilang pemprosesan REE itu merupakan satu usaha yang baik.

“Alhamdulillah negeri-negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kini mahu memastikan REE diproses di Malaysia dahulu sebelum di eksport.

“Malah, idea ini telah dibincangkan panjang lebar di peringkat Kerajaan Persekutuan dan dalam majlis-majlis bersama yang turut melibatkan pimpinan dari keempat-empat negeri,” menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!