Ramos-Horta harap impian ASEAN jadi kenyataan di bawah pimpinan Malaysia
Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Timor-Leste, Ramos-Horta berkata, keanggotaan ASEAN akan menjadi kenyataan apabila Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan, kerana Malaysia kekal sebagai penyokong kuat usaha negara yang kaya dengan sumber itu untuk menyertai kumpulan serantau yang berkuasa tersebut.
Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Laos tahun depan.
"Integrasi Timor-Leste ke dalam ASEAN dijangka berlaku pada 2025 di bawah pimpinan Malaysia. Kami amat berterima kasih atas usaha gigih Malaysia dalam proses ini.
"Timor-Leste dan Malaysia mempunyai persahabatan dan kerjasama yang kuat dan berpanjangan, yang telah diperkukuh sejak lawatan rasmi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dua dekad lepas.
"Lawatan bersejarah itu menandakan babak baharu dalam hubungan dua hala yang kukuh," katanya dalam ucapan semasa majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-67 di ibu negara Timor-Leste, Dili, menurut kenyataan itu.
Dr Mahathir melakukan lawatan sulungnya ke negara itu pada 2003 semasa memegang jawatan.
Timor-Leste dianugerahkan status pemerhati semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Kemboja pada 2022 ketika Hun Sen menjadi perdana menteri, selepas hampir sedekad rundingan untuk penyertaan.
Kemboja menyokong penuh kemasukan Timor-Leste ke dalam blok itu.
Timor-Leste menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia pada Ogos tahun ini, selepas tujuh setengah tahun rundingan, menjadikannya ahli ke-166 badan global itu.
Menurut kenyataan itu, Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Dato Amarjit Sarjit Singh, mengulangi sokongan Malaysia kepada negara berkenaan semasa acara lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Dili bulan lepas.
"Walaupun ketiadaan lawatan sedemikian yang berpanjangan, kerjasama dua hala tetap berjalan lancar. Saya kini lebih bersemangat dengan prospek kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Timor-Leste.
"Malaysia akan memperluaskan tawaran pembinaan kapasiti selain penguasaan Bahasa Inggeris dan rundingan, untuk membantu Timor-Leste dalam pembangunan luar bandar, pelancongan, industri halal, dan TVET (pendidikan dan latihan vokasional teknikal)," katanya.
Malaysia telah menyokong kemajuan Timor-Leste sejak kemerdekaannya pada 2002, dengan menyediakan bantuan dalam aspek keselamatan, sumber manusia dan pembinaan kapasiti institusi.
Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu negara itu.
Ramos-Horta turut menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan usaha membangunkan negara bagi menjadikan Malaysia sebagai negara maju di ASEAN.
"(Dalam konteks ini) saya mengiktiraf kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan komitmennya untuk meningkatkan Malaysia sebagai negara yang maju dari segi teknologi dan kukuh dari segi ekonomi. Kepimpinannya meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat global,” katanya.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste bernilai RM197 juta pada 2023 dengan jumlah eksport direkodkan RM195 juta, manakala jumlah import dari negara itu bernilai RM1.7 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!