MBI terima Anugerah Tinjauan Kehormat UN-Habitat 2024
PUTRAJAYA - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan rakan kongsi yang berjaya menerima Anugerah Tinjauan Kehormat Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) 2024 menerusi program Ekonomi Donut Ipoh.
Menurut beliau, pencapaian itu merupakan bukti kejayaan kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta.
"Anugerah berprestij ini menyerlahkan kemajuan Malaysia dalam pembangunan bandar mampan di pentas global.
"Pencapaian MBI ini adalah detik yang membanggakan bagi negara, mempamerkan komitmen terhadap kelestarian bandar yang mampan dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Program Ekonomi Donat Ipoh dipilih sebagai penerima atas usaha MBI mengubah Ipoh kepada bandar yang memberi tumpuan kepada kesihatan, alam sekitar dan pembangunan mampan.
Dilancarkan pada Mac tahun lalu melalui geran daripada Yayasan Hasanah, itu dijalankan dengan kerjasama antara Pusat Kesihatan Planetary Sunway Universiti (SCPH), Institut Darul Ridzuan (IDR), People of Remarkable Talent (PORT) dan MBI.
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kepentingan pencapaian itu bukan sahaja terletak kepada anugerah semata-mata sebaliknya ia terletak pada komitmen bersama menjadikan Ipoh sebagai bandar mampan.
Kata beliau, penerapan model Ekonomi Donut mencerminkan impak yang kuat dengan mengintegrasikan dimensi ekonomi, sosial, dan alam sekitar bagi mencapai pembangunan seimbang.
"Usaha ini menjadi bukti bagaimana bandar-bandar apabila dibimbing oleh rangka kerja inovatif, boleh berkembang dalam batas ekologi sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti.
"Kami berhasrat untuk terus berusaha dalam menyelaraskan pembangunan dengan had ekologi sambil memperkukuhkan asas sosial komuniti Ipoh," katanya.
Tambah Rumaizi, pihaknya turut menghargai sokongan dan sumbangan berterusan terhadap usaha itu daripada Kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan.
"Selaras dengan matlamat Flagship 15 dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, MBI komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi membina Ipoh yang berdaya tahan, sihat, dan mampan,” katanya.
Anugerah itu akan disampaikan pada acara 'Beyond the 2030 Agenda' di Queretaro, Mexico pada 8 hingga 10 Oktober depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!