Bangunan lama IPD Melaka Tengah bakal dijadikan Muzium Polis

Bangunan lama IPD Melaka Tengah bakal dijadikan Muzium Polis. Gambar kecil: Muhamad Akmal
Bangunan lama IPD Melaka Tengah bakal dijadikan Muzium Polis. Gambar kecil: Muhamad Akmal
A
A
A

MELAKA - Bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir di sini akan dijadikan Muzium Polis dan tidak dijual kepada mana-mana pihak.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tanah yang menempatkan bangunan berusia hampir 100 tahun itu bukan milik kerajaan negeri tetapi kepunyaan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan.

"Operasi IPD Melaka Tengah akan dipindahkan secara berperingkat ke bangunan sementara iaitu di Wisma Amanah Batu Berendam bermula 9 September ini.

"Pemindahan ini demi keselesaan semua anggota dan pegawai termasuk orang awam yang datang berurusan sementara kita menunggu kelulusan peruntukan kira-kira RM250 juta untuk pembinaan bangunan baharu IPD Melaka Tengah," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengadakan lawatan ke Wisma Amanah di sini hari ini.

Dr Muhammad Akmal berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM4.4 juta bagi menaik taraf bangunan sementara itu termasuk peruntukan tambahan untuk kemudahan dan keselesaan petugas.

Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan yang disebarkan melalui platform media sosial sejak semalam berhubung IPD Melaka Tengah dipindahkan kerana bangunan asal telah dijual sebagai fitnah ‘dangkal’.

Beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menimbulkan kekeliruan berhubung isu itu.

Semalam, tular video berdurasi hampir dua minit di TikTok yang mendakwa warga IPD Melaka Tengah dihalau keluar dari bangunan sedia ada oleh Ketua Menteri Melaka kerana premis itu dijual kepada pihak ketiga. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!