Industri halal tarik minat Rusia - PM

Anwar Ibrahim (kanan) mengadakan pertemuan bersama Timbalan Mufti Rushan Hazrat Abbyasov (tengah) yang merupakan timbalan pengerusi pertama Majlis Mufti Rusia dan Lembaga Agama Islam hari ini. Foto Bernama
Anwar Ibrahim (kanan) mengadakan pertemuan bersama Timbalan Mufti Rushan Hazrat Abbyasov (tengah) yang merupakan timbalan pengerusi pertama Majlis Mufti Rusia dan Lembaga Agama Islam hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri halal yang terus berkembang dan meletakkan Malaysia pada kedudukan terbaik, telah menarik minat mendalam Rusia dalam sektor berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika pertemuan beliau dengan Timbalan Utama Pengerusi Majlis Mufti Rusia Rushan Hazrat Abbyasov, hari ini.

Beliau berkata, pertemuan turut menyentuh mengenai sistem perbankan Islam, latihan serta pembangunan keupayaan selain pertukaran kepakaran dan kerjasama pelbagai institusi di Malaysia, seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muzium Kesenian Islam dan Bank Negara Malaysia.

"Nilai yang dikongsi secara bersama ini akan pastinya memanfaatkan tidak hanya warga Muslim, tetapi negara secara keseluruhannya,” kata beliau dalam catatan di Facebook.

Pertemuan di Vladivostok, Rusia itu turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Wakil Diplomat Jabatan Spiritual Wilayah Timur Jauh Rusia, Jamal Sirenevich Garifullin.

Perdana Menteri berkata, pada pertemuan itu, kepentingan memupuk nilai dan institusi kekeluargaan selain tumpuan diberikan secukupnya dalam membangun masyarakat dengan nilai dan etika di samping berusaha melonjak negara ke tahap membanggakan, juga dibangkitkan.

"Justeru, pendekatan yang sama juga diambil di Malaysia tatkala kita mengetengahkan Malaysia MADANI dalam menggapai maksud dan objektif tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pertemuan berkenaan memberi makna besar dalam hubungan kedua-dua negara, yang melangkaui jarak dan benua.

Artikel Berkaitan:

"Rusia mempunyai seramai 25 juta warga Muslim, yang tentunya lebih besar jumlahnya ketimbang Malaysia. Lantaran itu, ini mesti menjadi alasan yang kukuh betapa hubungan yang lebih erat perlu direncana dan diusahakan,” kata beliau.

Anwar tiba di Vladivostok hari ini untuk lawatan kerja dua hari ke bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Rusia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) yang berlangsung pada 3 hingga 6 Sept dan akan menyampaikan ucapan dalam sidang pleno, esok.

Ini lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!