Hotel Concorde Kuala Lumpur akan dijual kira-kira RM700 juta

Hotel Concorde Kuala Lumpur akan dijual kira-kira RM700 juta.
Hotel Concorde Kuala Lumpur akan dijual kira-kira RM700 juta.
A
A
A

HOTEL Concorde Kuala Lumpur dan tanah bersebelahan bangunan tersebut akan dijual pada harga kira-kira RM700 juta.

Menurut laporan media tempatan, sumber berkata, hotel bertaraf empat bintang dengan 581 bilik itu merupakan hartanah pegangan bebas seluas kira-kira 4.5 ekar (1.821 hektar) dan bakal dirobohkan jika ada yang mahu membelinya.

Lokasi tersebut mungkin akan dibangunkan semula untuk dijadikan sebagai sebuah kawasan bernilai berbilion ringgit.

Ujar laporan itu, taikun Malaysia yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng dan rakan kongsi lain juga sedang mempertimbangkan untuk melakukan peluang pelaburan lain.

"Beberapa pelabur menunjukkan minat dalam membangunkan semula tapak ini disebabkan oleh lokasi utamanya.

"Bagaimanapun, pemilik tidak tergesa-gesa untuk menjual kecuali jika menerima tawaran yang sangat menarik," katanya.

Concorde atau nama asalnya dikenali sebagai Hotel Merlin dari 1957 hingga 1990 itu menjadi mercu tanda hospitaliti lama di Kuala Lumpur dengan Restoran Cina ‘Dragon Court’ (kini ‘XIN Cuisine’) menjadi tempat makan yang popular sejak turun-temurun.

Menghadapi persaingan yang semakin meningkat daripada hotel lima bintang baharu pada pertengahan 1990 ketika ledakan ekonomi Kuala Lumpur, hotel itu mengubahsuai tingkat atasnya secara strategik menjadi premium suite.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Concorde Hotel & Shopping Centre di Singapura yang dimiliki oleh Hotel Properties Ltd. (HPL) dan pemegang saham lain juga akan dijual melalui tender awam.

Savills Singapore, ejen pemasaran eksklusif, telah menetapkan harga panduan sebanyak S$820 juta bersamaan dengan dolar Singapura sebanyak S$1,801 bagi setiap nisbah plot (ppr) termasuk balkoni.

Penilaian untuk hartanah di 100 Orchard Road adalah berdasarkan campuran pembangunan yang dicadangkan sebanyak 40 peratus hotel, 40 peratus kediaman dan 20 peratus kegunaan komersial dengan tambahan S$213.1 juta diperlukan untuk memperbaharui pajakan selama 99 tahun.

Selesai pada pertengahan 1980, hotel dan pusat membeli-belah ini terletak di tapak pulau penjuru seluas kira-kira 99,623 kaki persegi, dengan had ketinggian zon sebanyak 10 tingkat.

Sementara itu, Pengarah urusan Jualan Pelaburan dan Pasaran Modal di Savills Singapore, Jeremy Lake, mencadangkan pembeli yang berminat boleh mengemukakan permohonan perancangan alternatif untuk campuran penggunaan berbeza.

Beliau berkata, walaupun hartanah ini dikhaskan untuk kegunaan hotel, Savills Singapore mencadangkan bahawa pembeli yang berminat boleh mengemukakan permohonan perancangan alternatif kepada Urban Redevelopment Authority (URA) untuk pembangunan lebih sesuai di lokasi itu.

Concorde Hotel & Shopping Centre terbuka kepada pembeli asing, termasuk rakyat Malaysia tanpa had pemilikan dan tender awam dijadualkan akan ditutup pada 16 Oktober 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!