Sanusi sahkan beristeri dua, isteri pertama pergi meminang

Sanusi
Sanusi
A
A
A

KUALA NERANG - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan kini beristeri dua.

Tanpa berselindung lagi, Sanusi mengiyakan majlis meminang isteri keduanya dilakukan sendiri oleh isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh beberapa bulan lalu.

Menurutnya, isteri keduanya merupakan seorang ibu tunggal yang memiliki seorang anak dan keluarga isterinya berasal dari Kedah.

“Saya kahwin dengan anggota polis. Proses meminang dibuat oleh isteri saya berbulan dulu. Alhamdulillah, semua proses sempurna dan teratur.

“Pada hari peminangan dan perkahwinan, isteri saya (Jusmalailani) ada, anak saya pun hadir. Semua proses mengikut prosedur dan dipatuhi. Jadi tak ada isu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan geran tanah di Felcra Belimbing, Tualak, dekat sini pada Rabu.

Sanusi berkata, perkahwinan keduanya tidak diumumkan kerana tidak suka menghebahkan hal keluarga.

“Ini hal peribadi, jarang saya cakap, rumah tangga orang pun saya tak kacau tapi saya tak tahu pasal apa orang minat sangat dengan hal saya.

“Saya tak suka hal peribadi keluarga dihebahkan, banyak orang buat spekulasi kata saya kena tangkap khalwat lah, tak patut sungguh. Benda-benda seperti ini tak patut jadi sensasi, masyarakat harus dididik. Sensasi ni mesti ada isi kena ada ilmu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagaimanapun bagi mengelak difitnah atau disensasikan, Sanusi tampil memperjelaskan situasi sebenar.

“Saya nak elak benda-benda sensasi yang tak perlu macam ni lah. Tak jadi isu, saya ada kuota dua lagi,” katanya sambil ketawa.

Sanusi jelaskan, apabila ramai yang keterlaluan membuat pelbagai spekulasi menyebabkan beliau tampil menjernihkan keadaan dan status perkahwinan kedua.

“Isteri saya bukan pegawai penyiasat kes unsur nadir bumi (REE), dia penyiasat kes bahan letupan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon. Itulah kali pertama dan kali terakhir jumpa dia atas siasatan kes bom berkenaan.

“Selepas itu, dia jadi kawan isteri saya sebab dia rajin mengaji dan pergi kuliah dan mereka berkawan. Saya dan dia tak ada jumpa, tak berkawan dan tak bercinta. Lepas kahwin kami bercinta,” ujarnya.

Menurutnya lagi, diharap selepas pengumuman ini, tiada lagi spekulasi berkaitan hal peribadi dan rumah tangga beliau dicanang pihak tertentu.

“Percintaan selepas perkahwinan lebih indah daripada percintaan sebelum berkahwin.

“Tak eloklah diheret merata-rata, hormati privasi saya dan keluarga. Perkahwinan merupakan sunnah utama, ada sampai peringkat wajib ada peringkat sunat, jaja rumah tangga orang atau keruhkan keadaan pun haram juga,” katanya.

Sanusi turut memperbetulkan salah faham sebelum ini yang mendakwa isteri keduanya terlibat dalam kes siasatan berkaitan REE di Kedah.

“Maksud tangkap dalam ucapan saya baru-baru ini bukan merujuk kepada isteri tetapi kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasuation.

“Masa musim kempen PRN dulu, beliau serang saya dan buat dua kesilapan tuduh macam-macam. Saya tangkap dia buat dua kesilapan pada masa itu berkaitan kes REE, itulah maksud saya mengenai ‘tangkapan’ itu,” jelasnya.

Sebelum ini, Sanusi dilaporkan menafikan dakwaan telah berkahwin baharu dengan seorang anggota pasukan penyiasat yang menyiasat kecurian REE di Buki Enggang, Sik Kedah, seperti diperkatakan menerusi laman sosial.

Sanusi mendirikan rumah tangga dengan Tok Puan Jusmalailani Jusoh pada 14 Februari 1999 dan dikurniakan lima cahaya mata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!