Perbicaraan Ebit Lew ditangguh, bersambung Disember depan

Ebit Lew ketika meninggalkan mahkamah selepas menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit Lew ketika meninggalkan mahkamah selepas menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Perbicaraan kes melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew ditangguh pada Rabu dan akan bersambung di Mahkamah Majistret Tenom di sini pada Disember depan.

Perbicaraan yang sepatutnya dijadualkan sehingga Khamis itu ditangguhkan sehari lebih awal selepas pihak pembelaan memohon kepada mahkamah untuk dikosongkan hari tersebut kerana mempunyai perbicaraan kes lain di Mahkamah Tinggi.

Dalam perbicaraan sesi petang Rabu, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan yang baharu bagi kes tersebut iaitu pada 9 hingga 11 Disember dan dua lagi tarikh lain pada 14 hingga 17 Januari dan 4 hingga 7 Februari tahun hadapan.

Dalam perbicaraan akan datang, pihak pendakwaan akan meneruskan pemeriksaan semula terhadap saksi kesembilan yang juga pengadu dalam kes ini untuk memberi keterangan di mahkamah.

Selain itu, turut dipanggil untuk memberi keterangan ialah dua pegawai CyberSecurity Malaysia dan jurugambar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Kota Kinabalu.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah tiga saksi akan dikemukakan dalam perbicaraan tersebut termasuk isteri Ebit Lew.

Bagaimanapun, dalam perbicaraan kali ini hanya dua jurugambar PDRM yang dipanggil sebagai saksi ke-10 dan ke-11 untuk memberi keterangan di mahkamah.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!