Debaran ujian sulung Pau Marti
DEBARAN Pau Marti Vicente menjelang ujian sulung sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak negara bermula tiupan wisel pada jam 9 malam ini.
Skuad Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan Filipina dalam aksi separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 di venue keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jurulatih dari Sepanyol itu mengambil alih kerusi panas tersebut selepas Kim Pan-gon melepaskan jawatannya untuk kembali ke Korea Selatan membimbing Ulsan HD.
Bagi misi pertama ini, Pau Marti menyenaraikan Dion Cools sebagai kapten sambil dibantu Feroz Baharudin, Matthew Danies dan Daniel Ting di barisan pertahanan.
Pemain terakhir di benteng bertindak sebagai penjaga gol ialah Syihan Hazmi.
Jentera tengah pula dikemudi oleh Syamer Kutty Abba dan Afiq Fazail sambil dibantu Arif Aiman Hanapi di sayap kanan, manakala Akhyar Rashid di sebelah kiri.
Romel Morales dan Poulo Josue pula diberi kepercayaan untuk merobek gawang lawan.
Pemenang bagi aksi ini akan menentang Lubnan yang mengesahkan slot ke final selepas menewaskan juara bertahan, Tajikistan 1-0 petang tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!