'Saya dikecam netizen fitnah Ebit Lew' - Saksi

Ebit Lew ketika hadir di Mahkamah Tenom.
Ebit Lew ketika hadir di Mahkamah Tenom.
A
A
A

TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa bukti yang dikemukakan di mahkamah memberi kesan kepadanya kerana dikecam oleh warga maya.

Pengadu yang juga saksi pendakwaan yang kesembilan berkata demikian ketika menjawab pemeriksaan semula pihak pendakwaan selepas dirujuk soalan pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ram Singh dalam perbicaraan sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria meminta pengadu menjelaskan apa yang dia faham mengenai soalan dan jawapannya yang bersetuju dengan soalan Ram mengenai apa saja bukti yang digunakan di mahkamah akan mencemarkan imejnya.

"Saya dikecam orang, cakap saya fitnah Ebit Lew, orang tidak percaya apa yang saya cakap malah mereka menyalahkan saya.

"Netizan (orang yang dimaksudkan). Saya baca ramai orang cakap saya fitnah Ebit Lew," kata pengadu dalam keterangannya di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.

Sebelum itu, Zahida dalam pemeriksaan semula meminta pengadu menjelaskan kenapa dia menjawab panggilan Ebit Lew merujuk kepada jawapannya dalam pemeriksaan balas oleh pihak peguam.

"Ebit Lew mengasak (mendesak) selalu membuat 'missed call', paksa saya untuk sambut panggilan daripada dia.

"Jadi hari itu saya sambut dan saya ingin tahu kenapa Ebit Lew WhatsApp lucah dengan saya, minta layan kemahuan seks sebab apa yang saya tengok dia kerap 'post' di IG (Instagram), FB (Facebok), dia baik saja dengan isteri.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya mahu tahu apa sebenarnya masalah dia," jelasnya kepada mahkamah.

Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida dan Analia Kamaruddin manakala Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!