Sanusi yakin SG4 akan diperluaskan kepada SG8

Sanusi
Sanusi
A
A
A

KUALA NERANG - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin syarikat SG4 Group Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh negeri-negeri Perikatan Nasional (PN) akan berkembang kepada SG8.

Beliau berkata, pengaruh SG4 akan diperluaskan ke Pahang, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Saya nak bagi tahu, kita (PN) akan melebar-luaskan lagi SG4 kepada SG8, SG4 akan pergi ke empat negeri itu, selepas ini akan jadi SG8,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan geran tanah di Felcra Belimbing, Tualak, dekat sini pada Rabu.

Pada Selasa, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan kedudukan syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) sekiranya satu atau dua kerajaan negeri PN itu bertukar tangan.

Mohd Puad berkata, ini kerana bukan mustahil negeri Terengganu, Kedah dan Perlis dirampas semula Barisan Nasional (BN).

Sanusi sebaliknya mempersoalkan kenyataan Mohd Puad berikutan BN tidak mempunyai bilangan kerusi yang kukuh di kesemua negeri SG4.

“Saya nak bagi tahu, di Kedah BN tidak ada langsung kerusi DUN, Perlis dan Terengganu pun tak ada. Kelantan BN ada dua kerusi DUN. Nak tukar dengan apa?

“Jadi Puad tak payah risaulah (negeri SG4 bertukar tangan), kerusi pun tak ada, nak tukar dengan apa? Di Kedah, hanya ada dua kerusi PKR dan satu milik DAP. Kerusi lain semua milik PN,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sanusi menempelak segelintir pihak yang melabel SG4 Group sebagai syarikat RM2.

“Saya pun tak tahu ‘capital share’ RM2. Bukan saya yang tubuhkan syarikat, Sekretariat yang tubuhkan dan proses itu semua kena tanya mereka.

“Yang penting, SG4 ditubuhkan untuk bisnes babitkan empat negeri PN, berapa ringgit tak peduli lah. Kita fokus kepada usaha sama, perundingan dan perbincangan agenda syarikat. Tak jejaskan apa-apa pun,” ujarnya.

Sanusi berkata, agihan hasil kepada empat-empat negeri dilakukan secara saksama, dengan setiap negeri memiliki 25 peratus saham syarikat tersebut.

“SG4 sangat positif, akan diteruskan berlandaskan agenda yang disusun dalam ruang lingkup untuk platform perundingan, perbincangan, usahasama empat negeri berdasarkan undang-undang.

“Ada ruang untuk kerjasama negeri, antaranya bawah senarai negeri yang mana bidang kuasa negeri. Antara ruang lingkup senarai negeri ialah dalam bidang pendidikan, mineral dan galian, perlombongan serta mana-mana berdasarkan jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan (senarai negeri),” jelasnya.

Pada Isnin, Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 menubuhkan syarikat bersama sebagai usaha untuk memajukan lagi pentadbiran yang dikuasai pembangkang itu.

Syarikat SG4 Group ditubuhkan beberapa bulan lalu dan dimiliki bersama Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!