YTL sahkan SPRM minta maklumat 1BestariNet

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - YTL Communications Sdn Bhd (YTL) mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini meminta maklumat daripada pihaknya berhubung projek 1BestariNet.

YTL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam melakukan siasatan berhubung projek tersebut.

"Dalam hal ini, kami ingin mengesahkan bahawa SPRM baru-baru ini telah meminta maklumat daripada YTL berkenaan dengan projek 1Bestarinet.

"YTL memberikan kerjasama penuh kepada SPRM mengenai perkara ini dan percaya bahawa perkara itu akan diselesaikan dengan baik," katanya pada Rabu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada tahun 2011.

Menurut sumber, SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan pejabat YTL di Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, YTL menjelaskan projek 1Bestarinet telah dianugerahkan kepada syarikatnya pada tahun 2011 oleh KPM menurut kepada tender terbuka melibatkan 19 syarikat yang membuat tawaran untuk projek berkenaan.

"YTL dipilih sebagai pembida yang paling mematuhi teknikal dan paling kos efektif. Projek berkenaan diperakui oleh KPM sebagai berjaya disiapkan pada akhir tempoh kontrak pada 30 Jun 2019," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!