JDT mudah atasi Port FC

Kesebelasan utama JDT ketika bertemu kelab dari Thailand, Port FC, 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi. Foto FB Johor Southern Tigers
Kesebelasan utama JDT ketika bertemu kelab dari Thailand, Port FC, 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi. Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan kelab Thailand, Port FC, 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

JDT bermula baik sejurus wisel permulaan menerusi beberapa asakan menarik ke kubu pelawat dalam usaha membuka jaringan.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan itu perlu menunggu hingga minit ke-14 untuk meledak gol pertama perlawanan menerusi rembatan leret Oscar Arribas.

Tersentak dengan gol itu, kesebelasan Port FC mula mengatur asakan ke kubu pelawat bagi menyamakan kedudukan.

Namun segala asakan yang diatur skuad Port Lions itu berjaya dikekang benteng pertahanan JDT.

Malah, kesempatan itu turut dimanfaatkan kesebelasan Harimau Selatan bagi melancarkan serangan balas ke gawang pelawat.

Peluang terbaik JDT untuk menambah jaringan tiba pada masa kecederaan babak pertama, namun rembatan penyerang, Jorge Leonardo berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat untuk keputusan 1-0 memihak JDT kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, JDT semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.

Artikel Berkaitan:

Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila Jorge Leonardo tenang merembat untuk gol kedua pada minit ke-57.

Begitupun hasil satu serangan balas, Port FC hampir menjaringkan gol menerusi penyerang gantian, Lonsana Doumbouya pada minit ke-71, namun penjaga gol JDT, Christian Abad Amat terlebih dahulu meluru keluar bagi mengekang asakan tersebut.

Usaha, Port FC merapatkan jurang akhirnya tertunai menerusi jaringan Willen Mota pada minit ke-80.

Bagaimanapun Jorge Leonardo sekali lagi membuktikan kewibawaannya selaku penjaring apabila menjaringkan gol ketiga pasukan yang juga gol kedua peribadinya pada masa kecederaan.

Penghujung perlawanan menyaksikan tiada tambahan jaringan dilakukan kedua-dua pasukan sekali gus menyaksikan keputusan 3-1 memihak JDT kekal ke wisel penamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!