Paris 2024: Suresh tekad tebus kehampaan di LA28

Suresh (kanan) diberi kata-kata semangat oleh jurulatih selepas kalah menentang pemanah Iran Mohammad Reza Arab Ameri dalam pusingan penyingkiran 1/8 recurve individu lelaki terbuka Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France hari ini. Foto Bernama
Suresh (kanan) diberi kata-kata semangat oleh jurulatih selepas kalah menentang pemanah Iran Mohammad Reza Arab Ameri dalam pusingan penyingkiran 1/8 recurve individu lelaki terbuka Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JAGUH memanah para negara, S Suresh bagaikan sukar menerima hakikat impiannya merebut pingat Sukan Paralimpik Paris 2024 disekat jaguh Iran Mohammad Reza Arab Ameri, 2-6, dalam pusingan penyingkiran 1/8 acara recurve terbuka lelaki di Invalides di sini, hari ini.

Suresh, yang dilihat menahan air mata dari bercucuran di pipinya berkata, beliau sememangnya telah bersiap siaga dari segi mental dan memberikan segala-galanya ketika melepaskan panahan, namun akhirnya tidak berupaya mengekang kebangkitan Mohamad Reza.

"Saya ingat mampu mara lebih jauh dan boleh dapatkan medal. Saya dah buat panahan terbaik pun tidak sangka akan kalah juga.

"Jika kalah disebabkan persembahan tidak baik saya boleh terima, namun saya tidak dapat terima kerana sudah beri terbaik, ketika ini saya boleh kawal (emosi) lagi namun selepas ini akan nangis balik rasanya,” katanya kepada Bernama, di sini.

Suresh bermula baik apabila mendahului set pertama 2-0 sebelum Mohammad Reza yang beraksi dengan kerusi roda, melakar kebangkitan apabila menang tiga set berikutnya untuk mara ke suku akhir.

Walaupun mengakui berdepan angin berat sewaktu melepaskan panahannya, namun juara dunia 2019 itu enggan menyalahkan situasi tersebut.

Justeru, beliau berharap dapat mengawal angin dengan lebih baik selain memperbaiki ketepatan panahannya, dalam usaha untuk kembali bangkit meraih kedudukan podium pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28).

Beliau pada masa sama juga memohon maaf kepada keluarganya dan rakyat Malaysia atas kegagalan untuk membawa pulang pingat edisi kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan cuba buat lebih baik di LA28, di situ akan cuba duduk di atas lagi dari pencapaian hari ini, mungkin boleh dapat medal di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Memanah Paralimpik, Marzuki Zakaria tetap bangga dengan Suresh hari ini yang berjaya memperbaiki prestasinya di Paris 2024, selepas pulang lebih awal pada saingan penyingkiran 1/16 di Tokyo 2020 oleh atlet Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev.

Beliau berkata, Suresh telah memberi tentangan sengit sehingga penghujung saingan sebelum terpaksa akur dengan kehebatan Mohammad Reza.

Marzuki berkata, beliau dan pasukan akan membuat analisis persembahan kesemua anak buahnya termasuk Suresh pada Paris 2024, selain mendengar luahan dari mereka setibanya di tanah air nanti.

Beliau turut memuji persembahan dua pemanah compound negara, G. Daneshen (lelaki) dan Nur Jannaton Abdul Jalil (wanita) yang tetap memberikan persembahan baik biarpun tersingkir dari penampilan sulung mereka di pentas Paralimpik.

Cabaran Daneshen-Nur Jannaton berakhir pada Isnin, selepas tersingkir di pusingan penyingkiran 1/8 acara compound berpasukan campuran terbuka di tangan wakil Itali Matteo Bonacina-Eleonora Sarti, tumpas 141-147.

Kedua-dua pemanah negara itu sebelum ini ditunjukkan jalan keluar dalam pusingan 1/16 saingan individu.

Daneshen tewas tipis 142-144 kepada pemenang emas edisi lepas di Tokyo 2020 He Zihao dari China, manakala Nur Jannaton pula terpaksa akur dengan kehebatan Sarita dari India 124-138. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!