Budak 10 tahun pandu kereta bawa anak jiran terbabas
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang memandu kereta Toyota Corolla milik keluarganya bernasib baik kerana terselamat selepas melanggar kenderaan yang diparkir di bahu jalan pada Selasa.
Kejadian jam 9.30 malam itu berlaku di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kanak-kanak terbabit bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun tidak mengalami kecederaan.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu oleh kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan jirannya.
"Kereta itu dari arah Apartment Arowana Impian menuju ke arah Taman Arowana Impian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, semasa melalui satu selekoh, kereta dipandu terbabas dan melanggar sebuah van jenis Toyota yang diparkir di bahu kiri jalan.
Tambahnya, kejadian itu telah menyebabkan van itu menggelongsor ke hadapan dan melanggar kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.
"Semua pihak dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa atau penjaga perlu memerhati serta memantau tindakan anak-anak di bawah jagaan.
"Ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dan tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalahan, jika pesalah adalah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga akan dikenakan tindakan," katanya.
Justeru, mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor, Sudesh Kumar di talian 016-4830853 atau boleh terus ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 111 akta sama, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!