Wisma Putra sokong penuh usaha Mesir, Qatar dan AS
SHAH ALAM - Kementerian Luar menegaskan sokongan penuh terhadap usaha-usaha dilakukan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pengantara gencatan senjata kekal berdasarkan gencatan senjata tiga fasa yang diusulkan AS dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024).
Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sikap tidak berkompromi dan keangkuhan rejim Zionis Israel kerap mengubah syarat-syaratnya jelas menjadi punca utama perjanjian gencatan senjata masih belum dapat dicapai sehingga kini.
"Hal ini terbukti melalui kenyataan provokatif yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Israel pada 2 September 2024, di mana ia dikecam keras oleh Malaysia.
"Kenyataan tersebut termasuk tuduhan tidak berasas terhadap Mesir merupakan provokatif, tidak bertanggungjawab dan tidak wajar. Malaysia menegaskan bahawa Mesir berhak sepenuhnya untuk menolak semua tuduhan yang dibuat oleh Israel," katanya.
Jumaat lalu, Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang berkata, rundingan mengenai gencatan senjata di Gaza tidak boleh terus ditangguhkan.
Beliau berkata, China menyelar segala serangan menyasarkan penduduk awam dan menentang tindakan kekerasan yang melanggar undang-undang antarabangsa di Gaza dan Tebing Barat Sungai Jordan dengan bertopengkan rundingan damai.
Geng Shuang membuat gesaan itu semasa mesyuarat sementara Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung situasi kemanusiaan di Gaza pada Khamis.
Tambah Kementerian Luar, tindakan rejim Zionis Israel merupakan sebahagian daripada usaha yang tidak masuk akal dan keji untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza,
Ujarnya, kini tindakan tersebut telah merebak ke beberapa bandar di Tebing Barat dan tentunya akan mengakibatkan lebih banyak kemusnahan serta kehilangan nyawa.
"Malaysia akan terus teguh dalam komitmen kami terhadap perjuangan rakyat Palestin dan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
"Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan untuk memastikan kemasukan Negara Palestin ke dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai anggota penuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!