Pestabola Merdeka: Malaysia mara ke final berdepan Lubnan
MALAYSIA mara ke pentas final Pestabola Merdeka 2024 selepas menumpaskan Filipina 2-1, biarpun tanpa sokongan padu Ultras Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Para pemain sudah menunaikan tanggungjawab mereka untuk membawa skuad Harimau Malaya melangkah ke perlawanan akhir menentang Lubnan pada Ahad.
Namun di sebalik isu boikot, para pemain masih menagih sokongan padu kelab penyokong dan peminat setia untuk memenuhi venue keramat itu pada hujung minggu ini.
Kemenangan itu juga pasti melegakan Pau Marti Vicente yang lulus ujian pertama selepas mengambil alih kerusi panas tersebut dari Kim Pan-gon setelah kembali ke Korea Selatan bagi membimbing Ulsan HD.
Dalam aksi di hadapan kira-kira 3,000 penyokong, Malaysia dikejutkan jaringan pembuka tirai pasukan pelawat pada minit ke-27.
Sepakan Jefferson Tabinas membias di kaki Feroz Baharudin sebelum menerjah jaring menewaskan Syihan Hazmi di gawang.
Menuju dua minit ke bilik persalinan, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah, Syamer Kutty Abba hasil sepakan dari luar kotak penalti.
Menjengah separuh masa kedua Pau Marti membuat pertukaran apabila membawa masuk Safawi Rasid bagi menggantikan Akhyar Rashid.
Ternyata kemasukan kapten Terengganu FC itu membuahkan hasil apabila meledak gol kedua negara menerusi sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan dalam kotak penalti
Lubnan mara ke perlawanan akhir setelah menumpaskan juara bertahan, Tajiskistan 1-0 dalam aksi pada sebelah petang.
Tajikistan pada edisi lalu muncul juara setelah menewaskan Malaysia 2-0 dalam aksi final.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!