'Takkan melangkaui bidang kuasa agensi kerajaan, GLC'

Muhtar (dua dari kanan) selaku penalis Wacana Sinar Harian bertajuk "SG4: Antara Potensi Dengan Kontroversi" yang menampilkan Ismail Adnan selaku dan dua lagi penalis, Dr Zuhdi Marsuki (dua dari kiri) serta Anis Anwar Suhaimi yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
Muhtar (dua dari kanan) selaku penalis Wacana Sinar Harian bertajuk "SG4: Antara Potensi Dengan Kontroversi" yang menampilkan Ismail Adnan selaku dan dua lagi penalis, Dr Zuhdi Marsuki (dua dari kiri) serta Anis Anwar Suhaimi yang berlangsung di Kumpulan Media Karangkraf pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan dan gerak kerja SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) tidak akan membelakangi atau melangkaui bidang kuasa agensi kerajaan Persekutuan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Muhtar Suhaili berkata, penglibatan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) tidak boleh diketepikan sekiranya mahu menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke empat negeri terbabit.

Menurutnya, kerajaan juga perlu melihat SG4 sebagai peluang menjalinkan sinergi yang lebih baik seperti membantu empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan pelabur asing.

“Saya dimaklumkan sekarang ini keempat-empat negeri sudah ada pelaburan yang masuk dari Jepun, Korea dan China. Semuanya melalui proses yang patut iaitu dengan kerjasama MITI serta MIDA.

“Sekarang ada banyak koridor yang kita dapat lihat dan masing-masing ada agensi pelaksana, semuanya tiada pertembungan antara GLC kerajaan negeri dengan agensi kerajaan Persekutuan.

Muhtar. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
Muhtar. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.

“Justeru, saya yakin SG4 akan menghormati semua bidang kuasa agensi kerajaan Persekutuan, dalam masa sama penting juga untuk membangunkan sosioekonomi negeri,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi 454 bertajuk 'SG4: Antara Potensi dengan Kontroversi' yang disiarkan secara langsung, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Panelis lain yang terlibat sama ialah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki dan Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi serta dihoskan oleh Ismail Adnan.

Penubuhan SG4 bertujuan membangunkan pelan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di empat negeri ditadbir PN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis.

Sidang kemuncaknya pada Isnin lalu juga memfokuskan tentang inisiatif memajukan industri memproses unsur nadir bumi (REE).

Muhtar turut memaklumkan, Sarawak boleh dijadikan negeri contoh kerana ekonomi di negeri terbabit berkembang pesat dengan bantuan agensi kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, saya rasa perkara sama boleh dilakukan di SG4 untuk memastikan pelaburan dari luar negara masuk kepada lima kluster ekonomi.

“Antaranya infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber pendapatan baharu,“ ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!