Anggota bomba perlu dilengkapi latih amal menyelamat komprehensif berdepan tanah jerlus
Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan persiapan bagi meneruskan operasi pencarian mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. - Foto Bernama. Gambar kecil: Rozihan
A
A
A
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, latih amal operasi menyelamat seperti itu, perlu supaya anggota lebih bersedia menghadapi kes seperti itu pada masa akan datang.
"Untuk persediaan di masa akan datang, kami berbincang sesama anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kita kena ada libat urus yang kerap dengan agensi lain, kita ambil contoh bagaimana kita tangani kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur, yang kita telah kenal pasti 25 kawasan tumpuan.
"Hotspot yang kita kenal pasti ini, jika berlaku hujan lebat tanpa henti selama 15 minit di kawasan tersebut, prosedur operasi standard kita semua jentera di balai kena ke kawasan tersebut...jadi saya nampak pendekatan sama kena buat yang kita kena kenal pasti kawasan yang berisiko berlaku mendapan, kita buat recovery atau treatment latih amal,” katanya.
Turut dijemput ke program Ruang Bicara itu Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Nordin Pauzi.
Sementara itu, Nordin berkata kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India baru-baru ini menjadi satu pengajaran yang cukup besar buat JBPM sendiri dan ia bukanlah satu usaha yang gagal apabila SAR dihentikan, kerana bermula dari peringkat awal kejadian pelbagai usaha telah dilakukan.
"Kita tidak kata kita gagal, sebab kita sudah berusaha dari peringkat awal cuma atas pertimbangan yang mengambil pelbagai faktor maka SAR dihentikan...tetapi ini satu benda yang istimewa yang jarang berlaku kepada JBPM.
"Keduanya saya lihat koordinasi pelbagai agensi di Kuala Lumpur ini dan saya harap di semua tempat perlu ada satu objektif sama dalam hal melibatkan SAR dan kita perlu bersepadu kerana ia akhirnya akan memudahkan kerja-kerja kita,” katanya.
Sabtu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan operasi SAR wanita warga India, G. Vijaya Lakshmi, 48, yang hilang akibat terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India pada 23 Ogos dihentikan, selepas sembilan hari dilaksanakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!