[VIDEO] Trauma mangsa perang
KUALA LUMPUR – Kesan trauma, takut serta gelisah yang dihadapi rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel masih menebal.
Igauan ngeri itu masih membelenggu meskipun mereka kini selamat di bumi Malaysia.
Warga Palestin, Banan Salmi Ahmad, 28, cedera di muka dan kehilangan kakinya kirinya sehingga paras atas lutut selepas terkena serpihan roket pemusnah rejim Zionis yang jatuh tepat ke atas bumbung rumah yang didiaminya.
Menurut Banan Salmi, kakinya yang mengalami kecederaan itu gagal diselamatkan dan terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.
Malah tragedi yang berlaku pada Subuh, 7 Oktober tahun lalu turut menyebabkan pakcik dan ibunya gugur syahid dalam serangan tidak berperikemanusiaan itu.
Ketika kejadian, saya sedang tidur namun berjaya diselamatkan bersama mangsa -mangsa lain,” katanya yang tinggal di sebuah perkampungan di Rafah.
Banan Salmi antara 41 warga Palestin diiringi 86 waris yang kini menjalani rawatan susulan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal (HATTM), di sini sejak 16 Ogos lalu.
Media sebelum itu diberi peluang untuk mengikuti sesi temu bual dan lawatan khas di HATTM pada Selasa.
Jelasnya, apa yang diharapkan ketika ini ialah untuk memperoleh kaki palsu selepas keadaan pulih kelak.
“Saya rindukan Rafah terutama ayah, abang-abang saya di sana, setiap hari saya doakan mereka selamat,” katanya yang masih mengalami kesan trauma sehingga kini.
Beliau ditemani seorang kakak dan adiknya yang berusia 14 tahun sepanjang menjalani rawatan di HATTM.
Bagi Pemandu lori, Mohamed Sufyan Hassan, 29, pula terpaksa merelakan diri untuk berpisah bersama isteri serta empat orang anaknya di Gaza bagi membolehkannya rawatan lanjut kerana terkena serpihan letupan.
Menurutnya, serpihan letupan berkenaan menyebabkan bahagian rahang, saluran pernafasan hingga ke paru-parunya terjejas.
Meskipun begitu dia bersyukur kerana terselamat dalam serangan ke atas sebuah sekolah yang dijadikan tempat pelindungan sementara hingga menyebabkan 70 orang termasuk datuknya terbunuh.
“Sejak berada di sini (Malaysia), saya masih gagal untuk menghubungi keluarga kerana keadaan internet yang teruk di Gaza,” katanya.
Sufyan yang ditemani ibunya berkata, kali terakhir dia menghubungi keluarganya ketika berada di Mesir sewaktu proses membawanya ke Malaysia bersama mangsa lain.
“Saya berharap isteri selamat dan berharap agar peperangan segera berakhir dengan segera,” katanya.
Mohamed Sufyan mengakui rakyat Gaza ketika ini kekurangan sumber bekalan makanan dan mendapatkan air yang bersih dan beliau bersyukur kerana terpilih untuk mendapatkan rawatan lanjut di Malaysia.
Muka cedera kena serpihan bom
Peristiwa berdarah pada 13 Ramadan lalu yang mengorbankan tiga ahli keluarga Rania Abdel Fattah, 34, cukup untuk menjadikannya seorang wanita tabah.
Akibat kejadian itu juga Rania mengalami kecederaan agak serius apabila tangan dan kakinya patah malah mukanya turut terkena serpihan bom.
Selain itu, anak dan suaminya turut cedera dalam serangan Israel itu.
“Saya bersyukur kerana terpilih menerima rawatan di negara ini, harapan saya selepas ini anak saya yang cedera di muka serta suaminya dapat dibawa ke Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya yang mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.
Mengulas mengenai rawatan yang diterima di HATTM, ujarnya, doktor dan jururawat di situ menjalankan tugas dengan baik.
“Terima kepada kerajaan Malaysia kerana menyediakan kemudahan dan layanan yang baik kepada kami semua,” katanya.
Rania juga menyatakan hasrat untuk pulang menemui keluarganya selepas selesai proses rawatan yang diterimanya selesai.
Sementara itu bagi Zain Suhail Saad, 10, impiannya untuk ke negara ini menjadi kenyataan selepas dia menjadi antara kanak-kanak yang terpilih dalam misi kerajaan Malaysia,
Menurut ibunya, Nisreen Saad, 38, anaknya itu menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis.
Nisreen mengakui pada mulanya dia agak bimbang selepas mengetahui anaknya antara yang terpilih untuk ke Malaysia,
Namun kerisauan itu hilang selepas Zain dilihat semakin sihat dan gembira sepanjang dirawat di HATTM dan berharap untuk pulang ke negaranya selepas peperangan berakhir.
“Saya amat rindukan ayah dan berharap dapat bertemu semula dengan ayah selepas pulang ke sana,” kata Zain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!