Risiko perang merebak ke Tebing Barat


Asap tebal memenuhi ruang udara selepas pertempuran ganas berlaku di kem pelarian Palestin.
Asap tebal memenuhi ruang udara selepas pertempuran ganas berlaku di kem pelarian Palestin.
A
A
A

RAMALLAH - Israel merancang mahu mengubah dasar mereka di Tebing Barat dengan menggelar wilayah Palestin yang diduduki itu sebagai ‘barisan hadapan kedua paling kritikal’ selepas Genting Gaza yang kini berdepan perang genosid sejak lebih 10 bulan lalu.

Akhbar Hayom pada Selasa melaporkan, rejim Zionis menggunakan konflik terbaharu di enklaf berkenaan sebagai alasan kukuh untuk melancarkan operasi berskala besar sejak seminggu lalu.

“Arahan untuk mengklasifikasikan Tebing Barat sebagai ‘zon tempur’ masih berada pada peringkat awal. Kempen ketenteraan akan diteruskan pada masa depan memandangkan dua briged pasukan tempur sudah ditempatkan di kem pelarian Jenin dan bandar Tulkarem.


Laluan di Tulkarem dimusnahkan tentera Israel ketika serbuan di bandar tersebut.
Laluan di Tulkarem dimusnahkan tentera Israel ketika serbuan di bandar tersebut.

“Operasi Jenin hanyalah satu permulaan,” jelas laporan itu lagi memetik kenyataan jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Pada Rabu lalu, rejim Zionis melancarkan operasi berskala besar dalam tempoh lebih dua dekad ke atas Tebing Barat dengan mengerahkan ratusan anggota tentera dan serangan udara ke atas Jenin, Tulkarem dan Tubas yang merupakan kubu kuat gerakan penentangan anti-Israel di wilayah berkenaan.

Anggota pejuang bagaimanapun tidak berdiam diri, malah bangkit menentang kempen pencerobohan ganas tersebut.

Artikel Berkaitan:


Anggota IDF berkawal di sekitar bandar utama di Tebing Barat.
Anggota IDF berkawal di sekitar bandar utama di Tebing Barat.

“Pasukan kami terlibat pertempuran sengit dengan musuh di kem Tulkarem,” kata cabang Briged al-Quds di bawah gerakan Jihad Islam di kawasan itu.

Sementara itu, agensi berita WAFA melaporkan, lebih 30 terkorban manakala kira-kira 130 cedera dalam siri serbuan dilancarkan IDF sejak seminggu lalu.

Di Jenin, keadaan menjadi seperti ‘bandar hantu’ berikutan kebanyakan jalan utama kini musnah teruk dan hanya kelihatan kenderaan perisai serta jengkaut milik rejim Zionis berulang-alik di situ.

Pegawai majlis perbandaran memaklumkan, kira-kira 70 peratus laluan di Jenin telah dibinasakan rejim Zionis.


Seorang aktivis Palestin yang memegang bendera kebangsaan cuba menghalang jengkaut milik Israel daripada membinasakan jalan di Jenin.
Seorang aktivis Palestin yang memegang bendera kebangsaan cuba menghalang jengkaut milik Israel daripada membinasakan jalan di Jenin.

Operasi habis-habisan dilakukan ke atas Jenin dan kem pelarian bersebela-hannya kerana didakwa menjadi markas kumpulan penentang yang bertapak sejak pendudukan Israel ke atas Tebing Barat pada 1967.

Situasi sama juga berlaku di Tulkarem di mana jalan utama dimusnahkan.


Kebakaran tercetus di sebuah pasar di wilayah tersebut selepas Israel terus melancarkan serbuan ganas di bandar-bandar utama.
Kebakaran tercetus di sebuah pasar di wilayah tersebut selepas Israel terus melancarkan serbuan ganas di bandar-bandar utama.

Sehingga kini, komuniti antarabangsa gagal mengutuk tindakan pencerobohan ganas tersebut yang dikhuatiri akan menyebabkan Tebing Barat senasib dengan Genting Gaza. - Agensi

-- INFO:

Data terbaharu dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu mendapati sekurang-kurangnya 637 penduduk Palestin terkorban akibat kezaliman tentera Israel dan kekejaman pelampau Yahudi di Tebing Barat sejak Perang Gaza bermula pada 7 Oktober lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!