Kartel tuntutan PERKESO: Rampas hak pihak benar-benar perlu bantuan

Muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KOMPLOT pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Pekerja dan Sosial (PERKESO) melibatkan 33 individu termasuk doktor, pekerja swasta, ejen dan 'runner' adalah satu skandal besar yang menunjukkan penyalahgunaan sistem untuk keuntungan peribadi.

Tindakan berkenaan jelas 'meragut' hak individu atau pihak yang benar-benar memerlukan bantuan kerana mereka berkemungkinan akan menghadapi kelewatan dalam proses mendapat perlindungan kerana sistem terjejas.

Pada masa sama, kegiatan tersebut mencemarkan nama baik profesion perubatan dan menyebabkan kepercayaan segelintir masyarakat terhadap doktor serta seluruh organisasi berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan, tiga doktor pakar tulang bersama 30 individu direman antara sehari hingga tiga hari bagi membantu siasatan kartel kes memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO melibatkan jumlah RM2.1 juta.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Menurut sumber SPRM, selain tiga doktor tersebut, mereka yang direman adalah 19 pemohon tuntutan, lapan ejen dan tiga 'runner' serta kesemua yang ditahan berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.

Menurutnya lagi, modus operandi kartel tersebut adalah dengan membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL).

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya masih giat mengesan seorang lagi doktor bagi membantu siasatan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya membabitkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, suspek didakwa merupakan rakan subahat daripada tiga doktor kanan yang ditahan suruhanjaya itu di Pulau Pinang pada Selasa.

Kesimpulannya, penipuan ini menyebabkan kerugian kewangan besar kepada PERKESO selain mengancam keberkesanan sistem perlindungan sosial yang disediakan untuk rakyat.

Bagaimanapun, operasi ini menunjukkan keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani kes-kes penyelewengan, sekali gus membuktikan betapa teruknya penyalahgunaan kuasa yang berlaku.

Justeru, tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan sistem perlindungan sosial berfungsi dengan baik dan menegakkan keadilan untuk semua pihak yang terlibat.

Undang-undang yang ketat dan pemantauan berterusan adalah kunci untuk mencegah kejadian serupa di masa depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!