Lapan kali jadi pengapit namun belum jumpa jodoh, pemuda risau kena 'badi'
SHAH ALAM - Sebuah video tular memaparkan perkongsian seorang lelaki yang gagal bertemu jodoh gara-gara menjadi pengapit pengantin sebanyak lapan kali.
Menerusi perkongsian akaun TikTok milik @izzat_khairuddin atau nama sebenarnya Muhammad Izzat Mohd Khairudin, hubungannya bersama kekasih yang terbina selama 13 tahun itu juga tidak berkekalan lama.
“Saya rasa mungkin terkena badi sebab jadi pengapit lapan kali. Orang-orang tua dulu pun pernah kata kalau (jadi pengapit) lebih dari tiga kali, jodoh mungkin akan lambat.
“Jadi mungkin ada betulnya kata orang-orang tua itu. Sampai sekarang jodoh tak sampai walaupun umur saya sudah hampir 30 tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar Muhammad Izzat yang berasal dari Muar, Johor, dia cuba menjalin hubungan baharu selepas perpisahan tersebut namun ia tidak bertahan lama.
Menurutnya, kejadian tersebut menyebabkan dia membuat keputusan untuk berhenti menjadi pengapit sejak tahun 2021 meskipun menerima banyak permintaan daripada keluarga dan sahabatnya.
“Saya rasa menyesal pun ada sebab tidak dengar cakap orang tua-tua dulu. Saya layan sahaja perasaan jadi pengapit.
“Berdasarkan apa yang saya kongsi, saya ada juga lihat komen-komen yang ceritakan pengalaman sama. Jadi pengapit lebih lima kali pun, sampai sekarang tidak ada jodoh,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pengguna TikTok, @anak.paklah berkata, dia telah pengapit lebih dari 10 kali dan masih tidak bertemu jodoh sehingga sekarang.
“Saya lebih dari 10 kali jadi pengapit, memang badi ini tidak hilang. Masih belum berpunya,” menurutnya.
Selain itu, pengguna TikTok, @_faraayu96 mencadangkan supaya Muhammad Izzat mencuba peranan lain seperti menjadi penyambut tetamu dalam majlis perkahwinan.
“Selepas ini kena tukar jadi penyambut tetamu pula, mungkin tersangkut jodoh,” katanya dalam ruangan komen di video berkenaan,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!