Ubah mentaliti jika mahu tandas 'BMW'
BARU-BARU ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan 10,000 tandas awam berjaya dinaik taraf kepada BMW iaitu ‘Bersih, Menawan dan Wangi’ selepas kempen itu dilancarkan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kejayaan menaik taraf tandas awam itu dicapai hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk sekolah, hotel dan restoran sejak tahun lalu.
Pada 9 September tahun lalu, Kor Ming mencadangkan inisiatif kewangan sebanyak RM300 juta untuk membina tandas bertaraf BMW di seluruh negara.
Dengan penarafan itu, penulis harap tandas awam terutama di restoran, pusat beli-belah, pejabat kerajaan mahupun kawasan rehat dan rawat di sepanjang konsesi lebuh raya sentiasa dijaga rapi dan tidak kotor lagi.
Jika sebelum ini, sebut sahaja tandas awam sesiapa sahaja pasti akan terbayang keadaannya yang kotor selain bau kurang menyenangkan.
Malah setiap kali singgah di tandas awam, bukan luar biasa apabila kita terpandang gumpalan tisu, lampin pakai buang dan tuala wanita yang tidak dibuang ke dalam tong sampah.
Lebih menyakitkan hati apabila ada pintu tandas yang tidak boleh dikunci, kepala paip air hilang dan tandas tidak dipam selepas digunakan.
Disebabkan sikap acuh tidak acuh sesetengah rakyat negara kita dalam menjaga kebersihan tandas awam turut mendapat persepsi buruk daripada pelancong asing.
Hasil tinjauan Sinar Harian baru-baru ini, beberapa pelancong asing hanya memberi markah lima persepuluh bagi tahap kebersihan tandas awam di negara kita.
Mereka juga berpandangan tandas awam di negara kita khususnya di ibu kota Kuala Lumpur berada pada tahap sederhana. Tidak malukah kita dengan persepsi buruk ini?
Untuk rekod, pada tahun 2022, sebanyak 5,241 tandas awam atau 20 peratus daripada 26,081 tandas awam di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah berstatus dua bintang dan ke bawah iaitu kurang bersih dan kotor.
Peratusan itu meliputi semua kategori tandas awam seperti milik PBT, kedai makan, pusat beli-belah, stesen minyak, rumah ibadat, hentian awam, pejabat kerajaan, pusat pelancongan, sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Justeru, penulis berharap semua pihak menyahut cabaran untuk sama-sama menjaga kebersihan tandas awam supaya lebih banyak mendapat taraf BMW.
Harus diingatkan, amalan menjaga kebersihan diri terutama ketika menggunakan tandas harus bermula dari rumah lagi dan dididik sejak kecil.
Isu kebersihan tandas juga pernah disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tandas sekolah di negara ini dijaga dan dibaik pulih sebaiknya.
Kata Anwar, beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memeriksa tandas-tandas di sekolah bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab terhadap kebersihan dan mendapat kemudahan yang selesa.
Tandas yang kotor berpotensi menjadi tempat penyebaran pelbagai jenis virus, bakteria dan kuman seperti escherichia coli (E-coli), salmonella dan norovirus.
Pensyarah dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Malina Osman berkata, tandas kotor boleh menjadi punca jangkitan penyakit bawaan makanan atau air andai berlaku pencemaran silang dengan makanan atau sumber air minuman.
Kata beliau, antara penyakit berjangkit yang dikaitkan dengan tandas kotor dan pencemaran air ialah pernafasan akut, konjunktivitis (sakit mata), leptospirosis (kencing tikus), cirit-birit, hepatitis A, taun atau kolera, demam kepialu (tifoid), demam denggi dan keracunan makanan.
Namun, tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam bukan hanya terletak pada PBT atau kontraktor pembersihan, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan.
Jangan fikir kerana tukang cuci dibayar untuk membersihkan tandas awam, sudah menjadi kerja mereka membersihkan segala kekotoran yang kita lakukan.
Mentaliti ini perlu diubah kerana jika tidak, keadaan tandas awam yang kotor dan menjijikkan akan berterusan selamanya.
* Siti Shamila Che Zahari ialah ialah Editor Pengisian Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!