Kewajaran MoU untuk ahli Parlimen pembangkang


Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

PADA 7 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara prinsipnya bersetuju memberi peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sama seperti diberikan kepada ahli Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu untuk membincangkan kaedah terbaik selain mencari titik persefahaman.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan pihak pembangkang menyerahkan kepada kerajaan untuk sebarang syarat bagi membolehkan peruntukan dapat disalurkan.

Susulan itu, kerajaan menyiapkan kerangka Memorandum Persefahaman (MoU) bagi ahli Parlimen pembangkang dengan tumpuan membangunkan dan memulihkan ekonomi negara bersama- sama demi kesejahteraan rakyat.

Menurut Fadillah, kerangka itu diserahkan kepada pembangkang untuk penilaian apabila ia sudah siap sepenuhnya dan segala perkembangan akan dimaklumkan sekiranya pembangkang tidak bersetuju.

Pada 3 Ogos lalu, draf MoU sudah disiapkan dan sedia untuk diserahkan kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, pada Isnin, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menyifatkan kandungan MoU tersebut sebagai pelik.

Ujarnya, terdapat obligasi kerajaan dan pembangkang tetapi jumlah akan diberi kepada pembangkang tidak disebut.

Artikel Berkaitan:

Berikutan daripada situasi tersebut, Sinar Harian mendapat pelbagai respons daripada orang awam yang mempunyai pendapat peribadi.

Ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang tidak setuju dengan MoU berkenaan, namun masing-masing datang bersama hujah yang tersendiri.

SOKONG

Wujudkan persetujuan secara telus tanpa prejudis

Saya setuju kerana persefahaman antara kedua-dua pihak antara kerajaan dan pembangkang dalam isu peruntukan dapat dilaksanakan dengan telus tanpa prejudis.

Pihak pembangkang boleh memohon peruntukan berdasarkan keperluan di kawasan Parlimen masing-masing.

Selain itu, amaun dipinta juga dapat direkod dan perbelanjaannya hendaklah dicatat untuk tujuan audit bagi mengelakkan penyelewengan.

Ujarnya, pembangkang tidak seharusnya menggunakan isu tersebut sebagai laba politik kerana kerajaan telah memberi laluan jelas untuk mereka berunding.

Pada masa sama, kerajaan juga tidak berkrompomi soal ketirisan yang bakal berlaku jika peruntukan diberi kepada pembangkang tanpa mengikut prosedur tatakelola sebenar kerana melibatkan dana rakyat.

Muhamad Amirul
Muhamad Amirul

- Pekerja swasta, Muhammad Amirul Naim Mazian, 25.

Setiap MoU berlandaskan undang-undang

Berdasarkan tujuh syarat peruntukan ahli Parlimen pembangkang yang didedahkan oleh PN, saya sokong kandungan dokumen berkenaan kerana setiap perkara perlu dilakukan berdasarkan undang-undang.

Pertama, apabila ia melibat duit daripada satu pihak kepada pihak lain melibatkan jumlah besar sudah pasti memerlukan satu perjanjian atau ikatan yang menjamin bahawa wang tersebut disalurkan kepada pihak sepatutnya.

Kedua, berkaitan perkara dalam isu 3R (bangsa, agama dan raja), kita memang tidak tahu apa yang terkandung di bawah syarat berkenaan tetapi jika melibatkan larangan daripada menyentuh isu berkenaan, ia adalah bagus.

Sebagai pemimpin, tidak sepatutnya melakukan perkara melanggar undang-undang negara kerana di bawah anda ada pengikutnya.

Jika ketua pun melakukan kesalahan, kemungkinan besar yang di bawah juga akan melakukan hal sama dan boleh menyebabkan keadaan huru-hara.

Kesimpulannya, MoU itu memberi banyak kelebihan kepada kedua-dua pihak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin dan tidak terbeban dengan kos sara hidup.

Mohd Zailani
Mohd Zailani

- Peniaga, Mohd Zailani Abdul Rahman, 42.

BANGKANG

Syarat sebagai wakil rakyat sudah cukup

Saya tidak setuju dengan MoU untuk dapatkan peruntukan kerana status wakil rakyat dan ahli Parlimen sudah cukup wajar menerima peruntukan seperti mana ahli Parlimen kerajaan.

Kerajaan di negara ini cuma ada satu, jadi setiap yang bekerja di Parlimen juga bekerja untuk negara.

Mana ada lagi kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan PN selepas habis pilihan raya.

Saya rasa budaya tidak sihat seperti ini sepatutnya dihentikan kerana kesannya bukan kecil apabila pembangunan dan kebajikan rakyat akan terbantut.

Dalam pada itu, walaupun wakil rakyat tidak menerima peruntukan langsung, peruntukan tetap disalurkan melalui Penyelaras DUN dan Parlimen yang dilantik.

Namun, jumlah peruntukan ini tidak setara dengan nilai diterima wakil rakyat dipilih secara langsung melalui pilihan raya.

Muhammad Ridhwan
Muhammad Ridhwan

- Penjawat awam, Muhammad Ridhwan Sohar, 26.

Memang tugas kerajaan untuk bantu rakyat

MoU ini dianggap tidak adil kerana kerajaan pusat sepatutnya memberikan peruntukan sama rata kepada semua kawasan tanpa mengira parti politik yang memerintah kawasan tertentu.

Peruntukan diberikan kerajaan pusat haruslah digunakan untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan politik.

Jika kerajaan mahu meneruskan MoU ini, ia perlu mematuhi beberapa syarat penting.

Bagi saya, tidak patut mengenakan tuntutan seperti keperluan untuk menyokong kerajaan pusat sebagai syarat untuk mendapatkan peruntukan.

MoU yang memerlukan pembangkang untuk menyokong kerajaan pusat sebagai syarat untuk mendapatkan peruntukan boleh merosakkan hubungan antara kerajaan pusat dan negeri kerana menjejaskan kerjasama dalam pelaksanaan dasar serta program penting.

Pada masa sama, peruntukan diberikan perlu sama atau berbeza sedikit daripada peruntukan diterima kawasan di bawah pimpinan parti kerajaan.

Isu ini menimbulkan ketegangan politik dan akan terus dipantau dengan teliti oleh semua pihak termasuk rakyat yang terkesan dengan keputusan ini.

Muhamad Hafiz
Muhamad Hafiz

- Pekerja swasta, Muhamad Hafiz Mohd Arif, 25.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!