8 negara luar laksana pilihan raya secara e-voting

E-voting bertujuan meningkatkan efisiensi dan ketelusan dalam proses pemilihan. Gambar hiasan
E-voting bertujuan meningkatkan efisiensi dan ketelusan dalam proses pemilihan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Masih banyak perincian perlu diperhalusi sebelum Malaysia bersedia melaksanakan sistem undian elektronik (e-voting) bagi menggantikan kaedah konvensional yang menggunakan kertas undi.

Namun beberapa negara luar telah mula mengaplikasikan e-voting mengikut cara pengoperasian tertentu berdasarkan keperluan pilihan raya di negara masing-masing.

Ada negara menggunakan e-voting hanya di beberapa kawasan atau negeri serta untuk pilihan raya atau referendum tempatan.

Perancis misalnya tidak mempunyai e-voting untuk pilihan raya nasional sementara United Kingdom tidak membenarkan e-voting untuk mana-mana pilihan raya.

Negara seperti Jerman, Norway dan Finland pula mencuba e-voting dalam skala kecil dan kemudian mengharamkannya.

Berikut antara negara yang melaksanakan e-voting.

1. Estonia

Artikel Berkaitan:

Estonia
Estonia

Untuk rekod, Estonia adalah negara pelopor mengguna pakai mekanisme e-voting sejak tahun 2005.

Pada tahun lalu, negara Eropah tersebut buat kali pertama melaksanakan pilihan raya paling digital di dunia dengan lebih 51 peratus undian elektronik berbanding 49 peratus undian kertas.

Dikenali juga sebagai i-voting, sistem tersebut membolehkan pengundi membuang undi melalui komputer dengan sambungan internet tidak kira di mana berada. Apa yang diperlukan hanya kad ID dan card reader serta kod PIN untuk tujuan keselamatan.

Sistem tersebut juga membenarkan pengundi menukar fikiran dengan mengundi secara fizikal melalui kertas undi pada hari pengundian, yang mana ia akan membatalkan undian dalam talian yang dibuat sebelum itu.

Sejak tahun 2017, warganegara berumur 16 dan 17 tahun layak mengundi dalam pilihan raya tempatan dan rekod menunjukkan tidak kurang dari 36 peratus dan adakala hampir 64 peratus daripada pengundi layak mengambil bahagian dalam e-voting

2. Amerika Syarikat (AS)

Amerika Syarikat
Amerika Syarikat

- E-voting di AS melibatkan beberapa jenis mesin elektronik seperti skrin sentuh untuk pengundi menandakan pilihan, pengimbas untuk membaca kertas undi, pengimbas untuk mengesahkan tanda tangan pada sampul undi (undi tidak hadir) dan pelayan web untuk memaparkan kiraan kepada awam.

Terdapat juga sistem komputer untuk menjaga pendaftaran pengundi dan memaparkan daftar pemilih kepada kakitangan pusat undi.

Kebanyakan pejabat pilihan raya mengendalikan ribuan undi dengan purata 17 pertandingan setiap satu pengundian, justeru pengiraan menggunakan mesin adalah lebih cepat dan lebih murah berbanding kiraan manual.

Walaupun amalan e-voting telah wujud lebih lama di AS berbanding negara maju teknologi yang lain, namun perjalanan masih panjang bagi memastikan ia boleh dipercayai.

3. Perancis

Perancis
Perancis

Di Perancis, sistem e-voting yang membolehkan rakyat mengundi dari mana-mana lokasi menerusi komputer, telefon pintar atau tablet dengan sambungan internet sudah wujud dalam beberapa konteks.

Adakala ia digunakan dalam persekitaran profesional, misalnya dalam pemilihan wakil pekerja, dalam konteks kewangan, misalnya ketika mesyuarat agung tahunan syarikat serta dalam konteks politik, pemilihan awal perwakilan.

Bagaimanapun e-voting tidak digunakan untuk pilihan raya nasional atau tempatan.

Menurut sebahagian besar populasinya, kelebihan e-voting adalah penjimatan masa selain menggalakkan generasi muda untuk lebih terlibat dalam pilihan raya.

4. Rusia

Rusia
Rusia

Selepas menghantar permohonan untuk membuang undi dalam talian, kod dihantar ke nombor telefon yang disenaraikan dalam profil warganegara di sebuah portal digital, Gosuslugi - platform kerajaan Rusia dilancarkan pada tahun 2011 yang menyediakan akses dalam talian kepada perkhidmatan informasi dan borang elektronik.

E-voting boleh dilakukan di 27 wilayah Rusia termasuk Crimea bagaimanapun sistem tersebut jauh dari telus.

Perisian e-voting beroperasi di platform peribadi, Exonum namun pelayan peribadi yang hanya boleh diakses pegawai kerajaan telah digunakan ketika pilihan raya pada tahun 2019 dan 2020.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat setakat ini lebih tiga juta pengundi telah mendaftar e-voting di Rusia.

5. Turkiye

Turkiye
Turkiye

Majlis Pilihan Raya Tertinggi Turkiye (YSK) dan Universiti Ankara sedang mengusahakan infrastruktur teknikal dan undang-undang untuk peralihan kepada sistem undian dalam talian yang mungkin tersedia menjelang pilihan raya tahun 2028.

Apabila beroperasi, sistem tersebut akan terlebih dahulu digunakan dalam pemilihan organisasi profesional dan wakil pelajar di universiti sebelum diperkenalkan dalam pilihan raya Parlimen, Presiden dan pilihan raya tempatan.

Setakat ini, e-voting di Turkiye hanya boleh digunakan untuk pengundi luar negara selaras peraturan sedia ada.

Tiada undang-undang lain yang membenarkan e-voting dalam pilihan raya tempatan, pilihan raya umum atau pilihan raya presiden untuk rakyat di Turkiye.

6. Brazil

Brazil
Brazil

Brazil adalah contoh negara dengan sistem e-voting yang berkembang maju. Pada tahun 2000, ia menjadi negara pertama mengadakan pilihan raya sepenuhnya menerusi e-voting dan sejak itu kekal di barisan hadapan e-voting.

Mesin e-voting untuk pilihan raya Brazil dibangunkan dan diuji kali pertama pada pilihan raya 1996 di Santa Catarina.

Selepas itu, ia digunakan dalam pilihan raya nasional pada 1998 dan kemudian menjadi satu-satunya kaedah pengundian untuk tahun 2000, 2002, 2004 dan seterusnya.

7. Switzerland

Switzerland
Switzerland

E-voting di Switzerland bermula pada tahun 2003 di Geneva, penduduk Anières membuang undi menggunakan Internet. Ia merupakan percubaan pertama e-voting di negara itu.

Tahun-tahun berikutnya, jumlah yang mampu menggunakan e-voting semakin bertambah apabila semakin banyak lokasi menerima pakai sistem tersebut.

Kerajaan Switzerland mempunyai banyak sebab untuk menggunakan e-voting antaranya mengurangkan kos dan meningkatkan kelajuan pengiraan undi.

Warga Swiss di luar negara juga boleh mengundi dengan lebih kepercayaan, ia juga membantu meningkatkan peratusan undi berikutan e-voting adalah jauh lebih mudah.

8. India

India
India

Undian pada Pilihan Raya Umum India 2024 menyaksikan 100 peratus e-voting. Untuk membuang undi, hampir 970 juta pengundi yang layak mesti menggunakan Electronic Voting Machine (EVM).

Dalam konteks India, terdapat banyak kelebihan disebabkan skala mega pilihan raya terbesar dunia itu, ia lebih selamat dan efisien.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!