[VIDEO] Enam bekas MP Bersatu terima peruntukan tanpa sebarang syarat

A
A
A

SHAH ALAM – Enam ahli Parlimen yang sebelum ini dilucutkan keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri menjelaskan menerima peruntukan daripada kerajaan tanpa dikenakan sebarang syarat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, tiada syarat diterima mereka dan ia berbeza dengan situasi Perikatan Nasional (PN) yang perlu memenuhi tujuh syarat untuk menikmati peruntukan tersebut.

Mohd Azizi (kiri), Suhaili
Mohd Azizi (kiri), Suhaili

“Kami cuma jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk minta izin sokong kerajaan Persekutuan supaya peruntukan disalurkan kepada kami sama seperti yang diterima ahli Parlimen kerajaan dan Perdana Menteri bersetuju.

“Jadi kami terima jumlah peruntukan iaitu minimum lebih kurang RM4 juta setahun untuk urus dan melakukan pembangunan. Ini termasuk pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR), kerja penyelenggaraan, baik pulih dan sebagainya. Kira-kira RM1 juta untuk urus dan bakinya untuk projek,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman menegaskan beliau dan lima lagi rakannya tidak dikenakan apa-apa syarat kerana mereka secara sukarela memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Oleh itu kami tidak tertakluk kepada syarat seperti yang dikenakan kepada pembangkang.

“Kami berenam juga secara automatik tetap menyokong apa juga dasar kerajaan, jadi tidak ada keperluan untuk kami berenam ini menandatangani sebarang MoU,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!