Perhilitan minta MBSA tutup sementara Taman Tasik Shah Alam waktu malam
SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) agar terus menutup Taman Tasik Shah Alam Seksyen 7 pada waktu malam bagi tempoh sehari hingga dua hari lagi.
Permintaan itu bagi membolehkan pihak Perhilitan membuat pemantauan untuk memastikan tiada buaya lain di kawasan berkenaan susulan berjaya menangkap buaya di kawasan tasik taman berkenaan pada malam Rabu.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, buaya berkenaan dikesan memasuki perangkap sekitar jam 10.20 malam Rabu.
"Buaya yang kita selamatkan malam ini adalah buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter berusia sekitar tiga hingga lima tahun dengan anggaran berat 15 hingga 20 kilogram.
"Ini adalah operasi menyelamatkan buaya paling pantas yang kita lakukan kerana tidak sampai tempoh 24 jam perangkap dipasang, ia sudah memakan umpan segar yang kita letak," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi pada Rabu malam.
Hadir sama dalam operasi menyelamatkan buaya itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.
Wan Mohd Adib berkata, tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup taman tasik pada waktu malam bermula malam Rabu juga mendorong reptilia itu memasuki perangkap kerana suasana sunyi dan tiada gangguan.
"Buaya yang diselamatkan ini kita akan pindahkan ke Paya Indah Wetlands pada malam ini juga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!