PBT di tiga negeri bawah PN tiada unit integriti
SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di tiga negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan didapati belum menubuhkan unit integriti.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penubuhan unit itu penting untuk memastikan komitmen semua 156 PBT dalam usaha Kerajaan Madani membanteras rasuah.
"Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, saya mengarahkan semua PBT yang belum melaksanakan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini untuk segera menubuhkan unit integriti masing-masing.
“Saya memuji Selangor dan Pulau Pinang, negeri ini adalah contoh terbaik dalam pelaksanaan surat pekeliling JPA untuk menubuhkan unit integriti seperti yang terkandung dalam kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan menerima kunjungan hormat dan laporan kajian SPRM daripada Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Menerusi pertemuan berkenaan, perbincangan mengenai plan tindakan dan strategi mencegah amalan rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menjunjung prinsip integriti telah diadakan.
Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Nor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fazli Kenari.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kerajaan akan terus memantau dan memastikan unit integriti berfungsi dengan baik.
Ujarnya, inisiatif berkenaan adalah untuk menjunjung prinsip integriti selaras dengan prinsip Kerajaan Madani yang menegaskan prinsip ketelusan dan tata kelola yang baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!