Cameron Highlands tak lagi sejuk seperti dulu

Kawasan peranginan Cameron Highlands semakin kurang sejuk. Gambar hiasan
Kawasan peranginan Cameron Highlands semakin kurang sejuk. Gambar hiasan
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Penerokaan bagi tujuan pelbagai projek komersial menjadi antara penyumbang cuaca di kawasan peranginan Cameron Highlands di sini semakin kurang sejuk.

Pembangunan dilakukan antaranya bagi tujuan aktiviti pertanian, eko pelancongan dan premis perniagaan itu menyaksikan banyak kawasan hijau dan pokok-pokok yang sepatutnya berperanan sebagai 'penghawa dingin' semula jadi terpaksa dimusnahkan.

Dilip Martin
Dilip Martin

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A Dilip Martin berkata, perubahan suhu paling ketara dapat dilihat dalam tempoh lima ke enam tahun ini apabila banyak pembukaan tanah-tanah baharu dilakukan.

Menurutnya, suhu dingin pada waktu siang di kawasan itu kini hanya mencapai 24 darjah celcius berbanding suhu sejuk 20 ke 21 darjah celcius sebelum ini.

"Kalau dahulu penduduk tempatan dan pengunjung terpaksa memakai pakaian tebal di sini kerana cuaca yang sangat dingin dan berkabus.

"Berbeza keadaan sekarang, orang ramai boleh berpakaian kemeja-T sahaja kerana udara sudah tidak lagi rasa sejuk," katanya kepada pemberita sempena program penanaman semula pokok bersama 34 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Brinchang di Pusat Biodiversiti Reach di Gunung Brinchang di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dilip Martin (kanan) menyantuni seorang pelajar yang turut sama menyertai program penanaman semula pokok dijalankan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) di Pusat Biodiversiti Reach di Gunung Brinchang pada Rabu.
Dilip Martin (kanan) menyantuni seorang pelajar yang turut sama menyertai program penanaman semula pokok dijalankan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) di Pusat Biodiversiti Reach di Gunung Brinchang pada Rabu.

Program dengan kerjasama Yayasan Sime Darby yang dilaksanakan selama dua tahun bermula Mei lalu melibatkan 20,000 anak pokok untuk ditanam di kawasan-kawasan endemik.

Dilip Martin berkata, selain bagi tujuan pemuliharaan, penanaman semula pokok itu juga bertujuan mendapatkan kembali suhu dingin Cameron Highlands.

Katanya, sekiranya tiada langkah diambil, peningkatan suhu di kawasan peranginan itu boleh memberi kesan pengurangan pengeluaran ladang-ladang sayur dari sudut kualiti dan kuantiti.

"Dari aspek pelancongan sudah tentulah akan terjejas kerana persekitaran dingin merupakan tarikan utama pengunjung ke sini," katanya.

Seramai 34 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Brinchang menyertai program penanaman semula pokok dijalankan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) di Pusat Biodiversiti Reach di Gunung Brinchang pada Rabu.
Seramai 34 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Brinchang menyertai program penanaman semula pokok dijalankan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) di Pusat Biodiversiti Reach di Gunung Brinchang pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, aktiviti tanaman semula pokok yang digerakkan Reach sejak 14 tahun lalu telah berjaya memulihara 40 peratus melibatkan kira-kira 10 hektar kawasan hutan yang telah digondol.

Ujarnya, bagi kawasan Gunung Brinchang pula, dua hektar daripada keseluruhan 4.5 hektar yang diteroka pihak tidak bertanggungjawab telah ditanam semula dengan pokok-pokok spesies tempatan antaranya geruk, kelat, medang serai dan eugenia.

"Kebanyakkan pokok yang kita tanam telah berjaya mencapai usia antara 10 hingga 12 tahun.

"Lebih menarik apabila pemuliharaan ini berjaya menarik kembali kehadiran spesies haiwan yang jarang ditemui ke kawasan ini seperti asian golden cat, yellow-throated marten dan leopard cat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!