Lima ADUN lantikan Pahang angkat sumpah

Gambar dari kiri: Ahmad Irshadi, Mohd Fadzli, Haris, Rizal, Tat Chee
Gambar dari kiri: Ahmad Irshadi, Mohd Fadzli, Haris, Rizal, Tat Chee
A
A
A

KUANTAN - Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan selesai mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di hadapan Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ADUN lain.

Istiadat mengangkat sumpah dimulakan dengan Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri dan diikuti, Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.

Mohd Sharkar dalam ucapanya berkata, pemilihan ini dibuat berdasarkan beberapa pertimbangkan antaranya bagi meluaskan lagi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat terutamanya dalam situasi politik dan sosial dan ekonomi yang mencabar.

"Tahniah, lantikan ini juga akan membantu Kerajaan Pahang dalam pentadbiran negeri," katanya.

Terdahulu, pelantikan kelima-limanya tanpa melalui proses pilihan raya itu diluluskan dan ia mendapat sokongan majoriti mudah selepas usul berkenaan dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tujuh ADUN yang menyokong ialah Datuk Seri Mohd Johari Hussain dari Tioman, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (Inderapura), Datuk Abd Aziz Mat Kiram (Batu Talam), Mohd Shahrim Md Zain (Chini), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Su Keong Siong (Ketari) dan Ho Chi Yang (Tanah Rata).

Pada November 2020, DUN Pahang telah meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN, tanpa melalui proses pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Sharkar menjelaskan tempoh lantikan ADUN terlibat adalah hingga akhir penggal ke-15 ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!