Kes pemerdagangan manusia: PDRM analisa kedudukan kewangan syarikat
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan analisa dan penelitian terhadap kedudukan kewangan membabitkan beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia di Myanmar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan yang diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membabitkan beberapa individu termasuk milik bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan ahli perniagaan.
"Kita turut melakukan semakan penerbangan bagi melihat pergerakan ke luar negara khususnya Myanmar oleh individu berkenaan sejak 2019.
“Selain itu, keterangan beberapa individu khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan di bawa balik dari Myanmar ke negara ini juga akan diambil," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Razarudin berkata, tindakan itu adalah untuk melihat sekiranya ada maklumat baharu berdasarkan keterangan diambil yang boleh membantu dalam kes terbabit.
"Setakat ini sembilan individu telah dirakam keterangan sejak Selasa sehingga semalam," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kesemua keterangan itu, masih belum ada keterangan kukuh ke arah pemerdagangan manusia.
“Proses merakam percakapan itu melibatkan keterangan ahli politik dan suaminya, selain ahli perniagaan dan beberapa individu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wartawan portal tempatan.
“Polis juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pengarang yang menerbitkan laporan ‘Justice For Myanmar’ untuk dirakam percakapan secara dalam talian berkenaan isi kandungan artikel yang diterbitkan,” katanya.
Razarudin berkata, hasil percakapan yang diambil terhadap seorang penulis blog Youtuber dari Indonesia, individu berkenaan menyatakan maklumat yang dia dedahkan adalah dari hasil siasatan sendiri.
“Sebahagian pula adalah merujuk kepada laporan yang diterbitkan ‘Justice For Myanmar.
“Pasukan siasatan juga ketika ini sedang mengesan dua lagi ahli perniagaan dari China bagi siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan laporan kepada SPRM untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya membabitkan satu kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi sindiket ialah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer' penipuan judi secara dalam talian.
Hishamuddin berkata, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk 'Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia' yang diterbitkan di Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!