Rumah perlindungan warga emas terbesar dibina di Slim River

PKMD Muallim yakin, dengan adanya kemudahan Kompleks Ehsan nanti, lebih ramai kebajikan warga emas terbela dan dapat dijaga. - Foto: PKMD Muallim, gambar kecil: Muhammad Ghazawi
PKMD Muallim yakin, dengan adanya kemudahan Kompleks Ehsan nanti, lebih ramai kebajikan warga emas terbela dan dapat dijaga. - Foto: PKMD Muallim, gambar kecil: Muhammad Ghazawi
A
A
A

TANJUNG MALIM - Muallim yang tersenarai sebagai daerah menua bakal dilengkapi pusat perlindungan warga emas, Rumah Ehsan terbesar di negara ini.

Pembangunan Kompleks Ehsan di Slim River di bawah Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dijangka siap pada tahun 2027.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Muallim, Muhammad Ghazawi Zulkarnain berkata, pembinaan kompleks itu akan dapat menampung keperluan perkhidmatan jagaan dan rawatan kepada warga emas yang uzur dan tidak berwaris.

Menurutnya, perkhidmatan lain dapat disediakan termasuklah bimbingan agama, perkhidmatan fisioterapi, rawatan perubatan dan peralatan rekreasi dengan persekitaran selamat yang dilengkapi pelbagai fasiliti selaras dengan Dasar Warga Emas Negara (DWEN).

"Daerah menua menunjukkan berlaku peningkatan populasi warga emas dan ini memberi isyarat bahawa kita perlu bersedia dengan isu-isu pengabaian yang berlaku.

"Statistik menunjukkan, ramai kalangan warga emas yang dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan kalangan mereka yang tinggal sebatang kara, terbuang dari keluarga juga yang sudah tidak mampu untuk menyara diri sendiri.

Pemeriksaan kesihatan antara aktiviti rutin yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE). - Foto: PKMD Muallim
Pemeriksaan kesihatan antara aktiviti rutin yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE). - Foto: PKMD Muallim

"Jadi kita harap dengan adanya kemudahan Kompleks Ehsan ini nanti, lebih ramai kebajikan warga emas terbela dan dapat dijaga," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini di Malaysia hanya terdapat dua Rumah Ehsan iaitu di Dungun, Terengganu dan Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Muhammad Ghazawi berkata, bagi mengimbangi keperluan semasa golongan tersebut, pihaknya melakukan penambahbaikan kemudahan dan program sedia ada seperti khidmat bantu di rumah (KBDR) melibatkan 16 orang yang dilaksanakan Sukarelawan JKM dan pemantauan sembilan warga emas yang menghuni di Rumah Sejahtera di Tanjung Malim.

Katanya, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Muallim juga ada menerima cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat mewujudkan sebuah pusat rehabilitasi yang menyediakan pemulihan dan merawat komplikasi yang sering dihadapi pesakit warga emas.

"Sebelum ini PKMD Muallim ada menerima aduan daripada pesakit warga emas yang berdepan cabaran perjalanan jauh dan perlu menunggu giliran yang memakan masa untuk dapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan.

"Kemudahan pusat rehabilitasi ini nanti secara tidak langsung membantu memudahkan prosedur pemeriksaan kesihatan kumpulan sasar JKM itu," katanya.

Beliau berkata, ketika ini daerah Muallim mempunyai dua Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) masing-masing di Tanjung Malim dan Slim Village yang menjadi pusat sehenti bagi lebih 650 komuniti setempat.

Jelasnya, pengoperasian dan aktiviti harian PAWE bukan sahaja mendapat sokongan sukarelawan dan agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, Majlis Daerah Tanjong Malim, malah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut sama terlibat menggerakkan pelbagai program yang meningkatkan kualiti hidup kumpulan tersebut.

"Setakat ini, seramai 382 orang di daerah ini direkodkan sebagai penerima bantuan warga emas RM500 sebulan.

"Data sama juga menunjukkan, lebih banyak permohonan bantuan itu diluluskan berbanding permohonan lain dengan penambahan sekitar 8 ke 10 kes baharu setiap bulan," katanya.

Mengikut statistik Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2024 yang diterbitkan pada 30 Ogos lalu, Muallim antara 11 daerah dikenal pasti sebagai daerah menua iaitu penduduk berusia 65 tahun dan lebih mencapai 7.0 peratus.

Berpandukan DWEN, penuaan ialah apabila penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!