Kartel tuntutan PERKESO: Dua lagi doktor pakar tulang, ejen direman
GEORGE TOWN - Dua lagi doktor pakar tulang hospital kerajaan dan seorang ejen direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Khamis.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini pada Khamis.
Kesemua mereka ditahan di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu selepas ditangkap dalam satu operasi.
Tangkapan mereka itu dibuat susulan daripada tangkapan tiga doktor dan 30 individu membabitkan kes sama pada Rabu.
Ketiga-tiga mereka yang berpakaian lokap SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah George Town sambil diiringi penguat kuasa SPRM pada jam 8.50 pagi.
Menurut sumber, kedua-dua doktor berusia 43 dan 50 tahun manakala ejen berusia 32 tahun.
"Tangkapan ini adalah susulan daripada kes yang sama pada semalam iaitu memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO.
"Kedua-dua doktor tersebut bertugas di sebuah hospital kerajaan di Seberang Jaya.
"Modus operandi kartel ini juga sama iaitu dengan membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL)," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Tambahnya, mereka juga bergiat aktif sejak 2017 sehingga pada tahun ini.
"Kemungkinan akan ada lagi tangkapan membabitkan kartel tuntutan PERKESO serta dokumen palsu dengan bantuan doktor yang bersekongkol," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada Rabu, tiga doktor pakar tulang bersama 30 individu direman antara sehari hingga tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.
Ia menjadikan jumlah tangkapan setakat ini adalah lima doktor pakar tulang dan 31 individu, membabitkan kes memalsukan tuntuan PERKESO.
31 individu tersebut pula membabitkan 19 pemohon tuntutan, sembilan ejen dan tiga 'runner' yang berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.
Julai lalu, Senator Dr RA Lingeshwaran menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dakwaan bahawa beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya PERKESO digantung, yang dikaitkan dengan kartel memalsukan permohonan sedemikian.
Beliau memberitahu Dewan Negara bahawa panel itu digantung sehingga diberitahu kelak selepas PERKESO mendapat tahu tentang kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang.
Lingeshwaran yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap berkata, difahamkan kartel itu sedang melobi supaya doktor yang digantung itu kembali bertugas di hospital sama.
Beliau mengingatkan bahawa terdapat 683 pengeluaran palsu dari 2018 hingga 2022 melibatkan kira-kira RM43 juta, yang mana 16 melibatkan seorang doktor tertentu yang perkhidmatannya ditamatkan selepas terbongkar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!