Empat strategi tingkat hasil di Pahang - Wan Rosdy
KUANTAN - Kerajaan Pahang telah merangka empat strategi bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan ketirisan melalui pemerkasaan pendigitalan dan teknologi maklumat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu dilakukan bagi merakyatkan perkhidmatan dan memastikan pentadbiran kerajaan mempunyai hala tuju jelas serta perancangan jangka panjang untuk kemakmuran di Pahang.
Menurutnya, antaranya, pelaksanaan kutipan cukai petak bagi hak milik strata di Pahang melalui sistem e-Strata Pahang yang dibangunkan dengan kos RM1.795 juta dan ia sudah bermula 1 Januari tahun ini.
"Kita juga menambah baik dan menaiktaraf sistem pentadbiran tanah negeri yang sedia ada kepada Sistem Pentadbiran Tanah Berasaskan Web Negeri Pahang (SPTWeb) yang meliputi Sistem Hasil Tanah, Secure Land Management System (SELAMAT), Sistem Permohonan Kebenaran Pindah Milik/Gadaian dan Pajakan Tanah (e-Consent) dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM4,950,000.
"Pelaksanaan sistem e-Doket bagi menggantikan doket bercetak dalam kerja-kerja mengambil, mengalih dan mengangkut bahan batuan (pasir) bagi Lesen Pendudukan Sementara Bercantum Permit di bawah Seksyen 69 dan Seksyen 71 Kanun Tanah Negara (Akta 828)," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) mengenai strategi kerajaan Pahang dalam meningkatkan hasil dan mengurangkan ketirisan melalui pemerkasaan pendigitalan serta teknologi maklumat.
Wan Rosdy berkata, penggunaan sistem imej satelit dan 'remote-sensing' juga dilaksanakan melalui sistem e-Unified.
Jelasnya, sistem itu dilakukan menerusi kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia bermula dari 2019 sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, secara keseluruhan, transformasi pendigitalan, teknologi maklumat pentadbiran tanah adalah amat penting bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah yang lebih cekap telus serta responsif terhadap keperluan pengguna di era digital.
Beliau menambah, ia sekali gus dapat mencapai sasaran kutipan hasil sepertimana kerajaan negeri tetapkan.
"Secara tidak langsung juga dapat menyokong matlamat negara ke arah pembangunan yang lebih mampan dan inklusif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!