PRK Mahkota: Ahmad Zahid serah kepada MB Johor umum nama calon BN

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Persidangan Perundangan Antarabangsa berkenaan dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Persidangan Perundangan Antarabangsa berkenaan dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mengumumkan nama calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor.

Presiden UMNO itu berkata, ketetapan berkenaan sudah dipersetujui pucuk pimpinan parti.

"Saya berikan kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk buat pengumuman calon PRK DUN Mahkota," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Isnin lalu Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, calon BN bagi PRK DUN Mahkota akan diumumkan minggu ini oleh Ahmad Zahid.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing pada 14 dan 24 September ini.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lepas, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!