RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 demi kepentingan rakyat - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini bersifat menyeluruh dan mengambil kira jenayah siber yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, akta baharu itu digubal demi kepentingan seluruh lapisan rakyat Malaysia terutama kanak-kanak yang menggunakan Internet sebagai medium komunikasi harian.
"Dalam hal ini kita sangat prihatin terhadap mangsa buli, mangsa scam, dan tentu akta ini akan melihat beberapa aspek dari segi jenayah yang mungkin tidak berlaku sekarang, tetapi ada beberapa perkara tertentu yang kita unjurkan mungkin akan berlaku dalam dekad-dekad mendatang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Duta Sepanyol ke Malaysia Jose Luis Pardo.
Ahmad Zahid berkata, Jabatan Peguam Negara akan merangka draf RUU itu untuk dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan kelulusan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini.
Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, RUU itu akan dibentangkan olehnya, manakala pelaksanaan dan penguatkuasaan adalah di bawah Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Terdahulu dalam ucaptamanya Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara berkata, penubuhan majlis itu bertujuan memupuk nilai dan membina kapasiti insan untuk menggalakkan perpaduan sosial, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia yang maju dan stabil.
Beliau berkata, majlis itu sedang giat menangani isu utama seperti sokongan kesihatan mental melalui inisiatif seperti talian hotline krisis Talian HEAL (Bantuan Krisis Kesihatan Mental), yang menyediakan bantuan penting kepada mereka yang memerlukan.
"Selain itu kita juga sedang mempergiatkan usaha memerangi ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat, semakin berleluasa, apabila orang ramai menghabiskan lebih banyak masa dalam ruang digital.
"Usaha-usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih luas untuk memastikan bahawa manfaat daripada teknologi digunakan secara bertanggungjawab, dan perkembangan sosial negara kita kekal kukuh dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran baharu ini," katanya.
Memetik kematian tragis mangsa buli siber Rajeswary Appahu, yang dikenali dalam talian sebagai Esha, beliau berkata, generasi muda terdedah kepada risiko yang tidak pernah dihadapi oleh generasi terdahulu seperti buli siber, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dan pemangsa dalam talian.
Ahmad Zahid berkata, dengan mewujudkan persekitaran digital selamat yang melindungi kanak-kanak dan membantu keluarga menguruskan risiko dalam talian, adalah tanggungjawab bersama semua pihak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!