Kes bunuh pelajar: Permohonan ikat jamin DSP Mohd Nazri ditolak

Pegawai kanan polis, DSP Mohd Nazri Abdul Razak (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis.
Pegawai kanan polis, DSP Mohd Nazri Abdul Razak (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis menolak permohonan pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak untuk dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima, tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan perintah agar permohonan bagi mendapatkan jaminan dibenarkan.

Mohd Nazri, 45, dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan ke atas pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Datuk Bhupindar Singh ketika membacakan keputusannya berkata, berdasarkan naratif dikemukakan pihak pendakwaan, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan.

Katanya, mahkamah juga mendapati, tiada sebarang keadaan istimewa dikemukakan pihak pembelaan bagi permohonan jaminan berkenaan.

"Selepas mengambil kira hujahan balas diberikan kedua-dua pihak, mahkamah dengan ini menolak permohonan jaminan terhadap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

"Mahkamah telahpun menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan kes ini dan pihak pendakwaan diingatkan untuk memastikan saksi-saksi hadir, " katanya.

Di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu pemberita, terdapat dua alasan dipertimbangkan mahkamah untuk menolak permohonan jaminan tersebut.

Menurutnya, alasan pertama, pihak pembelaan mengemukakan keselamatan keluarga tertuduh terancam susulan kes berkenaan telah tular, namun pihak pendakwaan mendapati tiada siasatan lanjut dibuat polis.

"Alasan kedua diberikan berkaitan keselamatan dan nyawa tertuduh di penjara terancam kerana bercampur dengan banduan lain setia kali transit balik dari mahkamah.

"Pihak pendakwaan berpendapat, isu tersebut tidak wajar dibangkitkan dalam afidavit kerana pihak penjara tidak pernah halang atau mewujudkan sekatan tertuduh berjumpa peguam," katanya.

Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

Hadir sama, Peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid

Dalam sebutan kes itu 1 Julai lalu, Mohd Nazri memfailkan permohonan jaminan agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan kes selama 30 hari iaitu pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!