'Ramai pemimpin Pas juga patut bercuti' – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpandangan beliau perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadapnya berhubung isu akuan berkanun (SD).

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pemimpin-pemimpin Pas juga perlu diberikan cuti sekiranya siasatan yang menjadi alasan.

“Ramai tokoh-tokoh Pas juga patut bercuti sebab mereka juga (dalam proses) siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid (tengah) hadir merasmikan Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Ahmad Zahid (tengah) hadir merasmikan Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tuan Ibrahim pada Isnin lalu dilaporkan berpendapat Ahmad Zahid perlu dicutikan bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Beliau yang mengalu-alukan sikap terbuka Ahmad Zahid untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan SD bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagaimanapun merasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu bagaimanapun menimbulkan kontroversi apabila dibidas ramai pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Artikel Berkaitan:

Akmal berkata, cadangan pemimpin tertinggi Pas berkenaan sepatutnya diutarakan kepada ahli Pas dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu, bukannya kepada parti lawan.

Jelasnya, antara pemimpin Pas yang kesnya sedang disiasat dan didakwa di mahkamah ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan usaha empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional PN atau SG4 menubuhkan syarikat bersama yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) dengan salah satu sumber pendapatan utamanya ialah industri nadir bumi (REE) merupakan satu inisiatif yang baik.

Bagaimanapun, menurutnya, harga REE di pasaran dunia yang merosot sebanyak 70 peratus daripada harga asal disebabkan lambakannya di pasaran dunia dan pengeluaran stok penimbal oleh negara tertentu dijangka akan memberikan cabaran tersendiri kepada SG4.

“Namun potensinya cukup besar dan empat negeri ini tentu mempunyai strategi sendiri tetapi ia masih tertakluk kepada cukai dan ekosistem yang telah ditentukan kerajaan Persekutuan bagi tujuan eksport,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!