Malaysia, Rusia mahu serangan ganas Israel ke atas Gaza dihentikan segera - Anwar
VLADIVOSTOK - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Rusia sepakat menuntut supaya Israel menghentikan serangan ganas dan zalim ke atas Gaza dengan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam sidang media di hari terakhir lawatan kerja beliau ke Rusia, di Vladivostok, hari ini.
Pada masa sama Anwar berkata, Malaysia menghormati langkah-langkah yang dilakukan Mesir untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan di Gaza.
Anwar yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke Rusia mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, di Vladivostok, semalam.
Sementara itu Perdana Menteri menolak tuduhan Israel terhadap Mesir, Isnin lepas kononnya negara Timur Tengah itu membenarkan senjata diseludup kepada Hamas melalui sempadannya.
"Mesir telah membantu dengan sabar dan bijaksana, tapi dia (Israel) mesti bagi ruang.. kita juga hormat terhadap langkah Mesir yang menyalurkan bantuan kemanusiaan makanan dan perubatan," katanya.
"Jadi kita menolak dengan tegas tuduhan tidak bertanggungjawab Israel terhadap Mesir," katanya.
Beberapa media melaporkan Kementerian Luar Mesir berkata, tuduhan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu adalah cubaan untuk menghalang usaha perantaraan bagi mencapai gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan.
Semalam Agensi Anadolu melaporkan dakwaan Netanyahu itu turut dikecam Jordan, Qatar, Palestin dan Kuwait.
Perdana Menteri seterusnya berkata, Malaysia dan Rusia turut melahirkan rasa kesal, terutama terhadap keengganan Amerika Syarikat untuk menetapkan sikap lebih tegas dalam konflik Israel-Gaza.
Sementara itu Anwar berkata, perbincangan beliau dengan Putin semalam turut menyentuh soal konflik Rusia-Ukraine.
"Malaysia menggesa supaya ada kesediaan kedua-dua pihak bagi mengadakan rundingan untuk selesaikan masalah ini, kerana kesan sampingan itu akan membabitkan soal kenaikan harga, kos sara hidup... jika berlanjutan (pasti) akan membebankan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!