Kerajaan Pahang setuju tambah parkir di Cameron Highlands

Mohammad Fakhruddin menjawab pertanyaan dan jawapan pada
Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.
Mohammad Fakhruddin menjawab pertanyaan dan jawapan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) bersetuju untuk menambah tempat letak kereta bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan di pusat peranginan itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, cadangan pelaksanaannya akan dibangunkan di atas sebahagian tanah milik MDCH.

"Pelaksanaan ini mengandungi dua fasa iaitu fasa satu melibatkan 516 petak parkir yang dijangka siap dilaksanakan pada Februari 2025.

"Fasa dua pula, sebanyak 543 petak parkir tertakluk kepada keperluan dan permintaan," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Terdahulu, Ho Chi Yang (DAP-Tanah Rata) yang ingin tahu perancangan kerajaan untuk membina parkir bertingkat di Cameron Highlands bagi menambah jumlah tempat letak kenderaan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di Kea Farm iaitu kawasan tumpuan kesesakan.

Dalam persidangan itu, Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM122 juta bagi projek naik taraf jalan di bulatan McDonald ke persimpangan Brincang yang dinamakan Time Tunnel dan membina one way loops di Kea Farm.

“Buat masa ini saya dimaklumkan 9 peratus daripada progress tersebut telah dilaksanakan oleh pihak-pihak terbabit.

“Yang keduanya, dalam fasa 2B, masih dalam peringkat reka bentuk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, kerajaan juga mengeluarkan peruntukan sebanyak RM480 juta untuk menaiktaraf jalan persekutuan.

"Ini masih lagi dalam peringkat reka bentuk,” jelasnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pandangan beberapa ahli akademik yang mencadangkan agar kerajaan negeri mengehadkan kemasukan kenderaan awam di kawasan tertentu di Cameron Highlands.

Langkah ini diambil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat, terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!