MOTAC akan gantung lesen ejen pelancongan jika terlibat aktiviti haram

MOTAC akan gantung lesen pelancongan jika terlibat aktiviti haram. Gambar hiasan
MOTAC akan gantung lesen pelancongan jika terlibat aktiviti haram. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Lesen ejen pelancongan yang disyaki mengoperasikan bot laju hingga memasuki perairan Filipina secara haram akan digantung sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga telah memulakan siasatan terhadap ejen yang disyaki menguruskan atau membawa penumpang berkenaan.

"MOTAC mengambil serius berkenaan penahanan warganegara China dan Malaysia kerana memasuki Perairan Tugayo Hunasan, Sitangkai, Tawi-Tawi, Filipina secara haram pada 1 September 2024. Menurut laporan awal, tangkapan oleh pihak berkuasa kerajaan Filipina terdiri daripada lapan warganegara China dan tiga warganegara Malaysia.

"Individu-individu ini ditahan oleh pihak berkuasa Filipina kerana memasuki perairan Filipina secara tidak sah. Laporan awal menyatakan pelancong tersebut telah ke lautan Malaysia bagi tujuan memancing dan telah memasuki lautan Filipina akibat cuaca buruk.

"Sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati berlaku kesalahan dilakukan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menggantung, membatal lesen, mengkompaun atau mendakwa ejen pelancongan yang terbabit," kata kenyataan itu pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu termasuk tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China kerana disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina, Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata, mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.

Beliau berkata, mereka yang tidak memiliki dokumen sah itu didapati memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, MOTAC menerusi kenyataan sama turut menegaskan, semua ejen pelancongan di seluruh negara perlu memastikan semua pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan mematuhi peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992, peraturan-peraturan di bawahnya dan undang-undang bertulis lain.

"Pematuhan kepada undang-undang adalah penting untuk mengekalkan integriti industri pelancongan serta memastikan keselamatan serta keabsahan aktiviti pelancongan di bawah kendalian setiap ejen pelancongan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!