Hasil negeri tidak digabungkan dalam SG4 Group - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri (kanan) pada konvoi motosikal Kembara Terengganu Sejahtera sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu.
Ahmad Samsuri (kanan) pada konvoi motosikal Kembara Terengganu Sejahtera sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasil pendapatan empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 tidak akan digabungkan dalam syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group).

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan pendapatan yang diperoleh di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis adalah berbeza dengan hasil syarikat berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pembahagian pendapatan sebanyak 25 peratus daripada pemilikan saham dalam syarikat tersebut yang ditetapkan sebelum ini juga tidak melibatkan perolehan negeri berkenaan.

"Kita belum putuskan lagi sebenarnya. Itu pembahagian dari segi untung syarikat bukan hasil pada negeri.

"Hasil negeri tertakluk pada negeri masing-masing sebagai contoh hasil di Terengganu maka Terengganu lah menikmati hasil.

"Hasil negeri tidak digabungkan. Itu kena beza operasi syarikat dengan operasi apa diterima negeri.

"Saya rasa ramai orang keliru sebenarnya... Bayangkan kita bahagikan hasil di Kedah dan bahagikan dengan negeri lain, tidak. Operasi syarikat adalah perkara berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada konvoi motosikal Kembara Terengganu Sejahtera sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di pekarangan Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan menerusi syarikat tersebut, setiap negeri terlibat mempunyai kepentingan sama rata iaitu sebanyak 25 peratus.

Dr Mahathir berkata, syarikat yang diberi nama SG4 Group itu ditubuhkan beberapa bulan lalu dan dimiliki bersama Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Beliau berkata, syarikat yang ditubuhkan itu memfokuskan lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri, pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber pendapatan baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa penubuhan syarikat itu bukan bertujuan mengejar keuntungan sebaliknya mengukuhan kerjasama empat negeri tersebut.

"Saya rasa paling penting bukan keuntungan (syarikat) itu yang dikejar. Yang kita mahu ialah 'consolidation of bargain power' dalam menjalankan apa-apa urusan," ujarnya.

Ketika diminta mengulas masa depan SG4 sekiranya berlaku perubahan kerajaan negeri selepas pilihan raya umum (PRU), Ahmad Samsuri menyatakan SG4 akan membuktikan potensi terlebih dahulu kerana masih mempunyai tempoh dalam tiga tahun ini.

"Itu cerita panjang lagi. Kita ada tempoh dua tahun setengah (hingga) tiga tahun ini.

"Kita membuktikan potensi dahulu. Cerita pilihan raya itu...kita tengok selepas pilihan raya," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!