Rakyat Pahang 'curi' masa tonton siaran langsung pertama sidang DUN
TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang disiarkan secara langsung buat kali pertama kepada orang awam bermula Khamis amat dialu-alukan oleh rakyat di negeri ini.
Seorang peniaga di sini, Zainab Nordin, 43, berkata, siaran langsung itu dapat membantu rakyat di Pahang mengetahui input pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan di negeri tersebut.
Menurutnya, kemudahan siaran langsung terbabit adalah satu langkah positif dan perlu disokong semua pihak.
"Dengan kemudahan dan perkembangan teknologi pada masa kini, ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin demi manfaat bersama.
"Saya dapat tahu mengenai siaran langsung Sidang DUN Pahang malam tadi (Rabu) dan mencuri masa mengikutinya pagi ini untuk mengetahui perkembangan terkini," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Timbalan Speaker DUN Pahang, Lee Chin Chen pada Rabu memberitahu, siaran langsung Sidang DUN Pahang itu akan disiarkan melalui akaun Facebook rasmi Dewan Negeri Pahang.
Seorang lagi peniaga, Riduan Idris, 42m dari Mentakab menyifatkan langkah itu perlu dilakukan demi perkembangan semasa.
"Dengan siaran sebegini, rakyat boleh mengetahui suasana yang berlaku di Sidang DUN secara langsung selain terus mendapat maklumat," jelasnya lagi.
Pembantu kedai, Agusnaini Anas, 48, turut menyambut langkah baik yang kerajaan negeri yang menyiarkan Sidang DUN secara langsung di media sosial.
"Ini satu usaha terbaik oleh kerajaan negeri dan harap diteruskan sampai bila-bila," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud, 63, memberitahu langkah itu dapat menggambarkan ketelusan dalam sidang terbabit.
"Saya sangat menyokong usaha ini kerana rakyat tidak boleh mempertikaikan apa yang dibuat oleh Menteri Besar dan kerajaan negeri untuk keselesaan dan manfaat kepada rakyat," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!