Basikal hadiah tak tinggal Subuh menang basikal tercantik merdeka
KOTA BHARU - Berkat sebuah basikal yang dimenangi kerana tidak tinggal solat Subuh selama 40 hari, terpilih sebagai basikal berhias tercantik sempena Program Jiwa Komuniti Madani @ Merdeka Pintu Geng di sini pada Khamis.
Basikal dimiliki Ammar Ramzi, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh Pintu Geng itu diperoleh daripada Masjid Taman Guru pada penganjuran Program Solat Subuh 40 Hari di masjid tersebut pada Ramadan lalu.
Ammar mengambil masa dua hari untuk menghias basikalnya dengan lebih 20 Jalur Gemilang bagi menyertai pertandingan yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan ke-67 dan Hari Malaysia.
Ibunya, Norhayati Ismail, 43, berkata, selain bendera Malaysia, basikal tersebut juga dihias tulisan patriotik menggunakan barangan kitar semula seperti kotak, kertas untuk menghasilkan bunga dan hiasan daun plastik dengan kos tidak lebih RM50.
“Ammar sendiri yang bersemangat patriotik berkobar-kobar dan mahu menghiasi basikalnya dengan Jalur Gemilang, bunga kebangsaan bunga raya, 14 bendera setiap negeri termasuk Kelantan.
“Ini pertama kali dia menyertai pertandingan dan alhamdulillah menang tempat pertama,” katanya ketika ditemui pada Program Jiwa Komuniti Madani @ Merdeka Pintu Geng di Stesen Minyak Petronas Pintu Geng sini pada Khamis.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kota Bharu, Mohd Zamzuri Salleh berkata, pihaknya di daerah itu melaksanakan 62 program Jiwa Madani bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan ke-67 dan Hari Malaysia tahun ini.
“Pada program ini seramai 67 murid dari SK Paloh Pintu Geng menyertai kayuhan basikal berhias Jalur Gemilang diketuai penunggang basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood yang sudah berusia 78 tahun.
“Mereka berbasikal sejauh enam kilometer mengelilingi Wakaf Che Yeh dan turut menerima hadiah hamper bagi basikal tercantik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!