Perkahwinan tanpa restu penyebab hilang keberkatan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Akashah Wan Abdul Hamid
Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Akashah Wan Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Perkahwinan tanpa restu ibu bapa boleh menyebabkan hilangnya keberkatan dalam rumah tangga dibina, selain tidak mendapat keredaan ALLAH SWT.

Pendakwah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid menegaskan, ia sekali gus memberikan kesan buruk kepada kebahagiaan hidup pasangan.

"Ketenangan dan kebahagiaan itu datang dari hati, tetapi jika perkahwinan tidak mendapat restu, hati tidak akan tenang walaupun mungkin rumahnya bertingkat-tingkat, wangnya melimpah-ruah, kasut berkilat-kilat mahupun mempunyai isteri cantik memikat.

"Apa yang diperoleh itu sebenarnya hanyalah bersifat luaran sahaja, tetapi dalamannya (hati), tiada kebahagiaan dan hilang ketenangan sebaliknya timbul kerunsingan serta pelbagai masalah dihadapi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Jelas Wan Akashah, pernikahan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang menyempurnakan sebahagian daripada agama dan tidak boleh dipandang remeh.

"Dalam Islam, perkahwinan suatu perkara yang disuruh oleh agama dan mendapat pahala.

"Untuk mendapat kebahagiaan, mesti dapatkan restu ibu dan bapa terlebih dahulu kerana apabila orang tua reda, maka dengan sendirinya ALLAH juga akan meredai mahligai yang dibina tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Wan Akashah turut menegur sikap segelintir masyarakat yang mengambil sikap 'kahwin dulu, baru minta restu ibu bapa'.

Artikel Berkaitan:

Meskipun perkahwinan itu sah terutama bagi golongan lelaki yang tidak memerlukan wali untuk bernikah, tetapi tegasnya, ia adalah pandangan yang salah.

Jika dari awal lagi lagi sudah salah, katanya, ia akan membuahkan hasil yang sama kerana dalam kaedah usul fiqh Islam 'matlamat tidak menghalalkan cara'.

"Walaupun matlamat kita baik, tetapi caranya salah dan kena ingat, ibu bapa pun ada kehormatan, maruah dan perasaan.

"Apabila mereka terasa hati dan menitiskan air mata, boleh jadi munculnya anak derhaka, sedangkan kedudukan orang tua begitu tinggi iaitu selepas ALLAH dan rasul-NYA," jelasnya sambil mengingatkan umat Islam agar tidak membelakangkan ibu bapa jika mahu berkahwin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!