'Konon hendak beli rantai emas untuk ibu'

Polis mencari lelaki ini dipercayai melarikan rantai emas dalam kejadian di Bandar Botanik, Klang, pada Selasa.
Polis mencari lelaki ini dipercayai melarikan rantai emas dalam kejadian di Bandar Botanik, Klang, pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Seorang pelanggan berpura-pura hendak membeli rantai emas sebelum melarikan diri dengan barang kemas itu di Bandar Botanik, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Menurutnya, suspek merupakan lelaki tempatan yang masuk ke dalam premis untuk mencari dan membeli rantai emas bagi pemberian hadiah kepada ibunya.

"Pekerja premis telah mengeluarkan dan menunjukkan satu rantai leher bernilai RM24,800 yang dipilih oleh suspek.

"Kemudian suspek telah keluar dari kedai untuk bercakap di telefon bimbitnya sebelum masuk kembali dalam premis. Bagaimanapun suspek telah melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan di depan kedai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, satu laporan mengenai kejadian itu telah diterima Balai Polis Klang pada hari yang sama oleh jurujual wanita berusia 25 tahun.

Tambah Hoong Fong, berdasarkan maklumat, polis telah mengenal pasti suspek berusia 28 tahun dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!