Isu pesawat MAS: Pastikan kekosongan 63 pekerja mahir diisi

Anthony Loke mempengerusikan mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara Tahun 2024 yang diadakan pada Khamis. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Anthony Loke mempengerusikan mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara Tahun 2024 yang diadakan pada Khamis. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] MAB Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pesawat-pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu mengambil langkah drastik untuk menarik minat pekerja mahir baharu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah mitigasi itu atas tanggungjawab syarikat penerbangan berkenaan, bukannya kerajaan.

"Mereka perlu memastikan kekosongan yang ditinggalkan oleh 63 pekerja mahir itu diisi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara dan pelancara Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia, di sini pada Khamis.

Menurutnya, kementerian menerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memantau pelan mitigasi seperti diarahkan sebelum ini.

"Setiap bulan MAB perlu menghantar laporan kepada CAAM," ujar beliau.

Sebelum ini, dilaporkan tujuh penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) mengalami masalah teknikal yang mana empat daripadanya berlaku pada Ogos lalu.

Terbaharu, Isnin lepas penerbangan MH66 ke Incheon, Korea Selatan yang menggunakan pesawat Airbus A330-323 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) pada jam 12.01 tengah malam sebelum berpatah balik dan selamat mendarat semua di Kuala Lumpur jam 12.34 tengah malam.

Artikel Berkaitan:

MAB dalam kenyataannya memaklumkan pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal berkaitan sistem hidraulik.

Sementara itu, Anthony berkata, isu pesawat MAS telah dijadikan modal serangan pembangkang kononnya masalah itu berpunca daripada tindakan kerajaan membawa masuk syarikat asing.

"Ini adalah satu persaingan yang tidak boleh dielakkan.

"Pekerja (yang berhijrah) ini mendapat gaji tinggi sudah tentu mereka mempunyai pilihan tawaran gaji.

"Kalau dilihat dari segi konteks positif, ia menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi," jelasnya.

Justeru, beliau berkata, MAB perlu memperhebatkan usaha dengan menawarkan pakej pekerjaan yang setimpal kepada kakitangannya.

Minggu lalu, Anthony mendedahkan seramai 63 orang pekerja daripada 411 pekerja MABES yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan telah berhenti dan berhijrah ke tempat lain sejak Januari lalu.

Ia berkemungkinan disebabkan tawaran gaji lumayan yang disediakan oleh syarikat penyelenggara lain.

Siasatan CAAM mendapati ia menjadi isu signifikan kepada beberapa insiden teknikal pesawat MAB, selain masalah komponen mekanikal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!