Pandu terus ke stesen minyak jika diburu penjenayah - Polis
IPOH - Pelaksanaan Program Go To Safety Point (GTSP) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama stesen-stesen minyak berkesan membantu mangsa kegiatan jenayah untuk menyelamatkan diri.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, beberapa kejadian direkodkan sebelum ini melibatkan mangsa jenayah yang mendapatkan bantuan di stesen-stesen minyak menerusi program berkenaan.
Menurutnya, program tersebut menunjukkan keberkesanannya kerana staf-staf stesen minyak diberikan latihan dan pendedahan bagaimana berdepan situasi kecemasan oleh pihak polis menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
"Tujuan program ini adalah untuk memberi bantuan keselamatan kepada masyarakat yang diganggu oleh penjenayah. Kebanyakan mangsa ini golongan wanita yang bersendirian. Jadi kita nasihatkan jika diekori mana-mana penjenayah, jangan panik dan terus pandu ke stesen minyak berhampiran jika tidak ada balai atau pondok polis berdekatan.
"Staf stesen minyak ini juga dilatih secukupnya bagaimana untuk membantu mangsa-mangsa yang diburu penjenayah. Minta bantuan kepada staf yang ada dan mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program GTSP Wilayah Utara (Perak) Petronas Dagangan Berhad dan Polis Diraja Malaysia di Stesen Petronas Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini.
Zulkafli berkata, sehingga kini terdapat 80 stesen minyak milik Petronas yang melaksanakan Program GTSP di seluruh Perak.
Jelasnya, selain Perak, terdapat juga beberapa syarikat minyak lain yang turut bersama-sama menyertai program terbabit.
Menurutnya, pihak polis melalui JPJKK bersedia berkolaborasi dengan stesen-stesen minyak di negeri ini untuk memberikan latihan kepada staf mereka sebagai persediaan jika berlaku kejadian kecemasan.
GTSP merupakan inisiatif tempat selamat oleh Petronas dengan kerjasama PDRM yang mana kru Petronas dilatih membantu mangsa jenayah atau kemalangan apabila mereka datang ke stesen minyak bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
Bantuan kecemasan itu merangkumi rawatan awal kecemasan perubatan, menghubungi pihak polis dan melaporkan kejadian serta menghubungi hospital terdekat untuk mendapatkan bantuan ambulans jika mangsa mengalami kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!