Tangan kiri dibaham buaya, mayat pemuda ditemui terapung

A
A
A

KINABATANGAN - Pemuda yang dilaporkan hilang ketika mengambil ikan yang dipukatnya ditemui maut di Sungai Latangan berhampiran sebuah ladang di sini pada Khamis.

Mayat Brono Kamil Js Nahak, 25, ditemui terapung, namun tangan kirinya hilang dipercayai akibat dibaham buaya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan sejurus pasukannya tiba dengan bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL).

"Hasil pencarian berjaya menemui mangsa pada jam 10.45 pagi dengan keadaan mayat tidak sempurna iaitu tangan kirinya hilang dipercayai akibat dibaham buaya.

"Mangsa juga ditemui dalam keadaan terapung pada jarak satu kilometer dari lokasi dia disambar buaya," katanya Ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Nurul Azlan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mangsa keluar ke sungai tersebut untuk mengambil ikan yang dipukatnya sekitar jam 12.30 tengah hari Rabu sebelum disedari hilang kira-kira tiga jam kemudian.

Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.28 pagi Khamis di mana hanya motosikal bersama baju, topi, kasut serta pukat ikan yang ditemui di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Pukat mangsa juga didapati koyak petanda mangsa mungkin telah disambar buaya.

caption

1. Mayat mangsa ditemui terapung di Sungai Latangan berhampiran ladang di Kinabatangan.

2. Tangan bahagian kiri mangsa hilang dipercayai akibat dibaham buaya ketika mengambil ikan yang dipukatnya di Sungai Latangan, Kinabatangan.

3. Mayat mangsa dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakans selanjutnya.

Tamat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!